Monday, September 17, 2012


bab 13 pembandaraan


GEOGRAFI - TINGKATAN 2

PEMBANDARAN

PETA MINDA



Pengenalan

1. Proses pembandaran merupakan satu proses penumpuan penduduk di kawasan bandar.

2. proses pembandaran juga dikenali sebagai proses urbanisasi.

3. Proses pembandaran boleh menyebabkan perubahan dalam:
(a) Jumlah penduduk
(b) Fungsi bandar
(c) Penggunaan tanah
(d) Cara hidup penduduk

4. Bandar-bandar di Malaysia mengalami pembandaran yang pesat selepas negara mencapai kemerdekaan.

5. Jumlah penduduk di bandar bertambah dengan cepat kerana migrasi luar bandar ke bandar berlaku dengan giat disebabkan penduduk luar bandar ingin mencari lebih banyak peluang pekerjaan di bandar.

6. Bandar-bandar besar yang berlaku pembandaran ialah seperti:
(a) Kuala Lumpur
(b) Georgetown
(c) Ipoh
(d) Johor Bahru
(e) Kuantan

7. Pembandaran menyebabkan jumlah penduduk disesuatu kawasan bertambah dengan banyak.

8. Ini adalah kadar kerana pertambahan semula jadi penduduk meningkat dan migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar.

9. Kegiatan ekonomi sesuatu kawasan yang mengalamiproses pembandaran akan berubah dari sektor primer kepada sektor sekunder dan tertier.

10. Keadaan ini bermakna sesuatu kawasan itu tidak lagi hanya berfungsi sebagai pusat pertanian, perikanan tetapi berfungsi sebagai pusat perniagaan, perdagangan, perindustrian dan perkhidmatan.

11. Pihak berkuasa tempatan telah menyediakan banyak kemudahan asas di kawasan pembandaran untuk memenuhi keperluan penduduk yang semakin ramai.

12. Kemudahan yang ditambahkan di kawasan pembandaran adalah seperti jaringan jalan raya, hospital, perumahan, sekolah dan taman rekreasi.

13. Tujuannya adalah supaya penduduk di kawasan pembandaran dapat kemudahan yang sempurna dan dapat meningkatkan taraf hidup penduduk.


Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Pembandaran Negara Malaysia

1. Faktor-faktor yang mempengaruhi pembandaran Malaysia ialah:
(a) Dasar kerajaan (gavernan)
(b) Peluang pekerjaan
(c) Migrasi penduduk



1. Dasar Ekonomi Baru 1970 dan Rancangan Lima Tahun yang memperkenalkan pembukaan kawasan baru dan bandar kecil telah menyebabkan proses pembandaran berlaku dengan pesat di bandar dan kawasan sekitarnya.

2. Tindakan ini telah menyebabkan ramai penduduk dari luar bandar berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan yang lebih baik.

3. Terdapat beberapa kawasan di setiap negeri di Malaysia diisytiharkan oleh kerajaan sebagai kawasan perindustrian iaitu Petaling Jaya, Bayan Lepas, Air Keroh, Pasir Gudang dan sebagainya.

4. Di samping itu, kerajaan juga menubuhkan Zon Perdagangan Bebas di beberapa tempat seperti Petaling Jaya, Sungei Way, Bayan Lepas dan Pasir Gudang.

5. Zon Perdagangan Bebas dilengkapi dengan pelbagai kemudahan infrastruktur, taraf perintis dan pengecualian cukai pendapatan. Kemudahan-kemudahan ini telah menarik pelabur-pelabur asing untuk melabur di Malaysia.

6. Selain itu, pihak kerajaan telah menubuhkan bandar-bandar baru seperti Shah Alam, Nilai, Senawang dan sebagainya.

7. Tujuan kerajaan menubuhkan bandar baru adalah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menggalakkan penghijrahan penduduk dari luar bandar.



1. Peluang pekerjaan dalam sektor perdagangan, perniagaan dan perindustrian telah menggalakkan penumpuan penduduk dari luar bandar ke kawasan pembandaran.

2. Perkembangan industri kilang dari industri perkhidmatan di bandar telah memperluaskan peluang pekerjaan.

3. Penduduk dari luar bandar berhijrah ke bandar untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik dalam pelbagai sektor dan mereka menetap di kawasan sekitar bandar dan lama-kelamaan kawasan mereka juga berkembang menjadi kawasan bandar seperti Petaling Jaya dan Shah Alam.

4. Selain itu, program tanah rancangan juga mempengaruh pembandaran Malaysia iaitu mewujudkan peluang pekerjaan di luar bandar dan menggalakkan penduduk berhijrah ke kawasan baru tersebut untuk mengusahakan.

5. Semakin ramai penduduk berhijrah ke kawasan tersebut. proses pembandaran akan berlaku dan kawasan tersebut akan menjadi bandar.



1. Pembandaran dan perkembangan bandar dipengaruhi oleh migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar.

2. Faktor-faktor yang menarik penduduk luar bandar berhijrah ke bandar ialah:
(a) Peluang pekerjaan yang pelbagai dan banyak
(b) Kadar upah lebih lumayan
(c) Kemudahan asas yang lengkap
(d) Kestabilan politik
(e) Peluang melanjutkan pelajaran

3. Faktor-faktor tolakan di luar bandar ialah:
(a) Kekurangan peluang pekerjaan
(b) Kemiskinan di dalam keluarga
(c) Kekurangan kemudahan infrastruktur
(d) Bencana alam

Fungsi Petempatan Bandar

1. Sesebuah petempatan bandar yang terdapat di negara ini mempunyai kepelbagaian fungsi. Fungsi sesebuah bandar adalah berdasarkan kepada bentuk kegiatan ekonomi, sosial dan politik yang terdapat di sesebuah petempatan.

2. Terdapat bandar-bandar di negara Malaysia yang berfungsi sebagai pusat pentadbiran. Bandar ini biasanya merupakan bandar utama atau ibu negeri. Peta di bawah menunjukkan ibu negeri bagi negeri-negeri yang terdapat di Malaysia.


Ibu negeri-ibu negeri di Malaysia

3. Pejabat-pejabat pentadbiran persekutuan dan negeri serta ibu-ibu pejabat syarikat swasta terletak di dalam bandar-bandar ini. Antara bandar seumpama ini seperti Kuala lumpur, Ipoh, Shah Alam, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Melaka.

4. Pusat perniagaan dan perdagangan merupakan salah satu fungsi petempatan bandar di negara ini. Di bandar terdapatnya gedung-gedung perniagaan, pusat perkhidmatan kewangan dan pusat membeli-belah serta aktiviti import dan eksport.

5. Antara bandar di negara ini yang berfungsi sebagai bandar perniagaan dan perdagangan adalah seperti Georgetown, Ipoh, Johor Bahru, Sandakan dan Kuching.

6. Terdapat juga petempatan bandar yang berfungsi sebagai pusat perindustrian. Kawasan perindustrian Petaling Jaya, Shah Alam, Bayan Lepas, Ayer Hitam, Bukit Mertajam dan Kulim merupakan antara beberapa bandar perindustrian yang terdapat di negara ini.

7. Penduduk yang tinggal di sekitar kawasan bandar perindustrian biasanya bekerja di kilang-kilang yang terdapat dalam kawasan tersebut.

8. Petempatan bandar juga turut berfungsi sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian yang dibekalkan dari kawasan bandar . Antara bandar tersebut ialah seperti Kota Bahru, Sandakan, Temerloh, Tawau, Raub dan Tumpat.

9. Selain itu, petempatan bandar juga turut berfugsi sebagai pusat pendidikan. Institusi pengajian tinggi awam dan kolej-kolej swasta biasanya terletak di kawasan bandar ini. Bandar Baru Bangi di Selangor contohnya menempatkan pelbagai institusi pengajian tinggi seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Maktab Perguruan Islam, Pusat Matrikulasi Bangi, dan kolej Persediaan MARA.

10. Aktiviti perlombongan bijih timah yang terdapat di bandar Ipoh dan Taiping serta perlombongan petroleum di Kerteh, Terengganu dan Miri, Sarawak telah menyebabkan bandar-bandar tersebut berfungsi sebagai pusat perlombongan.

11. Pusat perhubungan dan pengangkutan yang menempatkan terminal utama pengangkutan jalan raya dan kereta api merupakan salah satu fungsi petempatan bandar di Malaysia. Tumpat merupakan terminal kereta api di pantai timur Semenanjung Malaysia.

12. Bandar raya Kuala Lumpur misalnya menempatkan Hentian Putra dan Puduraya sebagai terminal utama pengangkutan bas ekspres dan Sentral Kuala Lumpur berfungsi sebagai terminal utama Kereta api Tanah Melayu (KTM) bagi seluruh Semenanjung Malaysia.

13. Petempatan bandar juga berfungsi sebagai pusat pertahanan negara. Bandar-bandar seperti Port Dickson, Lumut dan Butterworth menempatkan markas-markas tentera, pengkalan tentera udara, darat dan laut, berek tentera, pusat latihan, serta tempat simpanan senjata dan peluru.

14. Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan Bukit Fraser pula berfungsi sebagai pusat pelancongan dan peranginan di negara ini. Pulau Langkawi juga merupakan pusat pelancongan yang terkenal di negara ini kerana adanya pusat membeli-belah bebas cukai dan keindahan pantainya yang bersih dan menarik.

15. Pusat kebudayaan adalah salah satu fungsi petempatan bandar. Di bandar terdapatnya pusat-pusat pelbagai kebudayaan, balai seni, panggung kebudayaan dan pusat kraf tangan serta cenderamata. Contohnya seperti di bandar raya Kuala Lumpur terdapat Istana Budaya yang digunakan untuk kegiatan pementasan.

16. Kemudahan pelabuhan untuk pengendalian aktiviti eksport dan import di negara ini telah menyebabkan wujudnya bandar-bandar seperti Georgetown, Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pasir Gudang di Johor, Kuching di Sarawak dan Sandakan di Sabah berfungsi sebagai pusat pelabuhan di negara ini.

Kesan Pembandaran

1. Proses pembandaran yang berlaku di sesebuah negara telah menimbulkan pelbagai kesan positif dan negatif di negara-negara seperti Malaysia, Thailand dan Jepun.

2. Bandar-bandar utama di negara-negara ini seperti bandar raya Kuala Lumpur, Malaysia, metropolis Bangkok di Thailand dan metropolis Tokyo di Jepun menerima kesan-kesan daripada proses pembandaran yang berlaku.

Kesan Positif Pembandaran



1. Proses perbandaran telah menyebabkan peningkatan penduduk bandar di negara Malaysia, Thailand dan Jepun. Pertambahan ini telah meningkatkan bekalan tenaga kerja untuk pelbagai sektor seperti perindustrian, perniagaan dan perkhidmatan.

2. Kepelbagaian ekonomi di bandar telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan seperti di bandar raya Kuala Lumpur, metropolis Bangkok dan metropolis Tokyo.



1. Pertambahan penduduk kesan daripada proses pembandaran telah menggalakkan kerajaan menambah dan meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan bandar seperti kemudahan pengangkutan, pendidikan, kesihatan, bekalan elektrik dan air.

2. Jaringan pengangkutan seperti jalan raya diperlebarkan dan lebuh raya bertingkat turut dibina untuk keselesaan penduduk di bandar seperti bandar raya Kuala Lumpur dan metropolis Bangkok.

3. Selain itu, turut dibina Sistem Pengangkutan Transit Ringan (LRT), Komuter dan Monorel di bandar raya Kuala Lumpur serta kereta api peluru (Bullet Train) dan kereta api bawah tanah di metropolis Tokyo, Jepun untuk kegunaan penduduknya.

4. Kerajaan Thailand menyediakan kemudahan pengangkutan air seperti yang terdapat di metropolis Bangkok. Sepanjang Sungai Chao Phraya dibina terusan yang dikenali sebagai Klong sehinggakan Bangkok digelar Venice Timur. Pasar Terapung Damnoen Saduak menjadi destinasi perniagaan terapung yang terkenal di metropolis Bangkok.

5. Kerajaan turut meningkatkan kemudahan sosial di kawasan bandar seperti pusat-pusat kesihatan, pusat rekreasi dan pusat perubatan. Kemudahan ini bertujuan membolehkan penduduk menikmati taraf hidup yang lebih sihat.

6. Misalnya, kerajaan Malaysia menyediakan Taman Tasik Perdana dan Tasik Titiwangsa di bandar raya Kuala Lumpur sebagai lokasi riadah kepada penduduknya. Begitu juga keadaannya dengan metropolis Tokyo yang terdapat kawasan riadah seperti Ueno, Shiba dan Hibiya.



1. Kepelbagaian kegiatan ekonomi yang terdapat di bandar telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduknya. Kadar upah yang diberi jauh lebih tinggi berbanding luar bandar.

2. Keadaan ini membolehkan penduduk yang bekerja di bandar meningkatkan taraf hidup mereka melalui pendapatan yang diperoleh.

3. Kemudahan pendidikan yang lengkap di bandar membolehkan penduduknya memperoleh pendidikan yang lebih sempurna dan tinggi. Universiti dan kolej-kolej swasta didirikan untuk memenuhi keperluan tersebut.

4. Bandar raya Kuala Lumpur misalnya terdapat Universiti Malaya, Universiti Tun Abdul Razak, Kolej Cosmopoint dan sebagainya untuk kemudahan pendidikan kepada penduduknya. Begitu juga dengan Universiti Tokyo di metropolis Tokyo dfan Universiti Chulalongkorn di metropolis Bangkok.



1. Peningkatan jumlah penduduk di bandar turut meningkatkan kemudahan kesihatan seperti hospital dan klinik.

2. Kemudahan yang disediakan di hospital membolehkan penduduk menikmati kesihatan yang lebih baik. Misalnya di metropolis Bangkok terdapatnya kemudahan hospital seperti Hospital Besar Bangkok dan Hospital Bumrungrad.

3. Hospital Selayang yang terdapat di bandar Selayang, hospital Universiti Tokyo, Hospital Komegome dan Pusat Kanser Kebangsaan di metropolis Tokyo juga merupakan kemudahan kesihatan yang disediakan kepada penduduknya.



1. Pelancong yang datang ke negara Malaysia, Thailand dan Jepun turut menjadikan kawasan bandar sebagai destinasi pelancongan selain daripada pusat peranginan pantai yang terdapat di negara-negara tersebut.

2. Destinasi pelancongan seperti Taman Tema Air Desa dan Mines Wonderland di Bandar raya Kuala Lumpur serta Safari World di metropolis Bangkok dan Disneyland di metropolis Tokyo menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

3. Destinasi-destinasi pelancongan ini bukan sahaja dinikmati oleh pelancong malahan kepada mereka yang tinggal di bandar.



1. Kawasan pinggir bandar akan menerima kesan pembangunan di bandar apabila berlakunya perluasan pusat bandar. Contohnya, Batu Caves yang terletak di kawasan Kuala Lumpur utara telah menerima kesan pembangunan yang berlaku di bandar raya Kuala Lumpur.

2. Proses pembandaran yang berlaku di metropolis Tokyo juga telah menyebabkan kawasan seperti sempadan Wilayah Chiba di Timur, Wilayah Saitama di bahagian utara, dan Wilayah Kanagawa di bahagian selatan menerima kesan pembangunan yang berlaku.

Kesan Negatif Pembandaran


1. Proses pembandaran yang berlaku telah menyebabkan kesesakan lalu lintas di badar terutama ketika waktu puncak, iaitu semasa penduduk pergi dan pulang dari kerja. Keadaan ini akan diburukkan lagi apabila berlakunya banjir kilat.

2. Jumlah kenderaan yang banyak menuju ke pusat bandar raya Kuala Lumpur telah menyebabkan kesesakan lalu lintas sering berlaku. Begitu juga keadaannya apabila berlakunya banjir kilat di bandar raya Kuala Lumpur.

3. Selain Bandar raya Kuala Lumpur, metropolis Bangkok juga turut mengalami masalah kesesakan lalu lintas kerana banyaknya jumlah kenderaan di jalan raya dan ketika berlakunya banjir kilat.



1. Jumlah kenderaan yang semakin bertambah telah menyebabkan pencemaran udara dan pencemaran bunyi berlaku di Bandar raya Kuala Lumpur, metropolis Bangkok dan metropolis Tokyo.

2. Gas-gas seperti karbon dioksida, karbon monoksida, sulfur oksida, hidrokarbon dan nitrogen oksida yang dibebaskan daripada kenderaan telah menyebabkan berlakunya pencemaran udara di bandar-bandar tersebut.

3. Gas-gas yang dibebaskan ke udara ini bukan sahaja mencemarkan udara malahan akan memburukkan lagi fenomena pulau haba yang berlaku di bandar kesan daripada peningkatan suhu yang berlaku di udara.

4. Jumlah kenderaan yang terlalu banyak di jalan raya telah menghasilkan bunyi bising sehingga mengakibatkan pencemaran bunyi berlaku. Keadaan ini menggangu ketenteraman penduduk terutama kepada mereka yang tinggal berhampiran dengan jalan raya atau lebuh raya.

5. Bandar juga turut dicemari dengan pembuangan sampah sarap secara tidak terurus di kalangan penghuninya. Sungai Klang di bandar raya Kuala Lumpur dan Sungai Chao Phraya, Bangkok menjadi tempat pembuangan sampah sarap sehingga mengakibatkan airnya tercemar.

6. Pencemaran air juga berlaku disebabkan oleh pembuagan sisa domestik dan pembuagan sisa kilang. Pertambahan jumlah penduduk dan peningkatan jumlah kilang akan memburukkan lagi keadaan ini. Contohnya di metropolis Tokyo, sisa-sisa kilamng di buang ke pantai sehingga menyebabkan hidupan akuatik di kawasan tersebut tercemar. penduduk disekitar kawasan Kumamoto misalnya, pernah mendapat penyakit Minamata kerana memakan ikan yang sudah tercemar.



1. Bangunan konkrit dan jalan raya yang berturap menajdi punca utama masalah banjir kilat yang sering berlaku di bandar.

2. Jalan yang berturap akan menyebabkan resapan larian air permukaan ke dalam bumi terhalang dan sistem saliran yang sedia ada tidak mampu menampung jumlah air yang meningkat secara mendadak.

3. Keadaan banjir kilat akan bertambah buruk sekiranya sistem perparitan yang terdapat di bandar tidak sempurna dan dipenuhi sampah sarap kerana tiada pengurusan yang cekap.



1. Kawasan setinggan adalah kesan negatif yang paling ketara akibat proses pembandaran yang berlaku.

2. Masalah petempatan setinggan yang wujud di kawasan bandar disebabkan oleh:
(a) jumlah rumah yang tidak mencukupi
(b) kadar sewa rumah yang terlalu tinggi
(c) harga tanah yang tinggi

3. Penduduk yang tidak mampu memiliki rumah mengambil jalan mudah dengan mendirikan petempatan di atas tanah-tanah kerajaan dan persendirian serta di kawasan tebing sungai dan di sepanjang landasan kereta api.

4. Petempatan ini bukan sahaja mencemarkan pemandangan bandar, malah menimbulkan masalah sosial seperti keselamatan kesihatan, dan ketidakselesaan penduduk sekitarnya.

5. Bandar raya Kuala Lumpur dan metropolis Bangkok merupakan contoh bandar yang mempunyai masalah petempatan setinggan yang amat ketara.



1. Pendapatan yang lumayan dan taraf hidup yang lebih tinggi menyebabkan migrasi penduduk luar bandar ke bandar berlaku.

2. Migrasi penduduk luar bandar ke bandar ini telah mengurangkan jumlah tenaga kerja di kawasan luar bandar.

3. Keadaan ini mengakibatkan banyaknya kawasan pertanian di luar bandar yang tidak dimajukan dan terbiar begitu sahaja.


Langkah-langkah Mengurangkan Masalah Pembandaran



1. Masalah kesesakan lalu lintas dapat diatasi dengan melaksanakan beberapa perkara. Antaranya termasuklah
(a) melaksanakan kempen untuk menggalakkan penduduk berkongsi kereta (car pool) dan menggunakan kenderaan awam.
(b) kerja-kerja melebarkan jalan raya dan membina lebih banyak jejantas perlu dilakukan.
(c) meningkatkan pembinaan Pengangkutan Aliran Ringan (LRT) dan monorel untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.
(d) memperkenalkan sistem pengangkutan lebih bersepadu di kawasan bandar seperti mengadakan sistem kawalan lalu lintas berkomputer seperti yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
(e) mengadakan zon larangan untuk menghadkan kemasukan kenderaan tertentu ke bandar tertentu pada waktu tertentu.


1. Masalah pencemaran juga dapat diatasi dengan beberapa perkara seperti;
(a) menguatkuasakan undang-undang seperti Akta Alam Sekitar supaya kilang-kilang memasang penapis dan meninggikan cerobong asap.
(b) mengenakan denda yang tinggi terhadap kilang-kilang yang membuang sisa buangan ke udara dan sungai.
(c) memperkenalkan konsep penghijauan bandar dengan menanam pelbagai jenis pokok di bandar. Contohnya Bandar raya Kuching dan badar raya Kuala Lumpur ditanam dengan pelbagai tumbuhan bagi mewujudkan bandar dalam taman.
(d) membina loji kumbahan untuk merawat air kumbahan.
(e) memasang perangkap sampah sarap di sungai untuk memerangkap sampah yang dibuang ke sungai.
(f ) memperkenalkan Green Belt di dalam kawasan bandar.


1. Masalah kekurangan tempat tinggal dapat diatasi dengan:
(a) memperbanyakkan pembinaan rumah kos rendah dan pangsapuri. contohnya, Bandar raya Kuala Lumpur dan Bandar raya Kuching dan Pulau Pinang dibina rumah-rumah kos rendah dan pangsapuri untuk penduduk berpendapatan sederhana.
(b) menempatkan semula penduduk di petempatan setinggan ke petempatan yang lebih terancang.
(c) mengurangkan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar dengan membuka kawasan perindustrian di luar bandar.
(d) melaksanakan konsep memperbandarkan kampung untuk mengurangkan tumpuan penduduk ke bandar.



1. Masalah pembuangan sisa pepejal dan banjir kilat mungkin dapat diatasi dengan:
(a) mewujudkan tapak pelupusan sampah sarap dan sisa-sisa buangan kilang yang lebih terurus.
(b) menggunakan sistem insinerator untuk menggantikan sistem pembuangan sampah secara terbuka.
(c) menaiktarafkan sistem perparitan dan saliran yang terdapat di bandar.
(d) membina sistem saliran dan perparitan yang lebih sistematik.
(e) memperluas dan mendalamkan dasar sungai untuk menampung jumlah air yang lebih banyak. Contohnya, di bandar raya Kuala Lumpur, Sungai Gombak dan Sungai Klang telah dilebar dan didalamkan agar mampu menampung jumlah air yang banyak. Sungai Segget di bandar raya Johor Bahru juga turut dinaiktarafkan untuk tujuan tersebut.

No comments:

Post a Comment