Monday, September 24, 2012

Monday, September 17, 2012


bab 15 perkembangan jaringan pengangkutan


GEOGRAFI - TINGKATAN 2

PERKEMBANGAN JARINGAN PENGANGKUTAN

PETA MINDA





Pengangkutan Darat



1. Jalan raya adalah cara pengangkutan darat yang paling penting di Malaysia.

2. Jaringan jalan raya di Malaysia berjumlah 66 445 km. Sistem jalan rayanya padat dan 80% daripadanya berturap.

3. Jaringan jalan raya di Semenanjung Malaysia tertumpu di dataran pantai barat dan dataran pantai timur.

4. Kawasan tengah Semenanjung Malaysia adalah kurang jalan raya kerana kawasan ini bergunung-ganang dan diliputi hutan tebal.

5. Jalan raya di Sabah dan Sarawak adalah tidak padat kerana kawasannya berhutan tebal dan kebanyakannya dihalang oleh sungai-sungai yang besar.

6. Terdapat beberapa jenis jalan raya di Malaysia iaitu
(a) Jalan raya persekutuan
(b) Jalan banjaran
(c) Jalan raya berturap
(d) Jalan raya tidak berturap

7. Jalan raya persekutuan ialah jalan raya yang mempunyai dua lorong yang menghubungkan kawasan tertentu seperti dari Alor Setar ke Kulim dan Sandakan ke Tawau.

8. Jalan bandaran ialah jalan raya yang dibina di kawasan perbandaran seperti di bandar Ipoh, Johor Bahru dan Kuching.

9. Jalan raya berturap ialah jalan raya yang dibina dengan menggunakan tar, manakala jalan raya tidak berturap ialah jalan raya yang terdiri daripada jalan batu atau tanah merah.



1. Pada masa kini, lebuh raua telah menjadi pengangkutan darat yang utama di Malaysia.

2. Pembinaan lebuh raya telah memendekkan masa perjalanan dan memajukan kawasan-kawasan pedalaman yang terpencil.

3. Terdapat banyak lebuh raya yang mempunyai empat dan enam lorong di Semenanjung Malaysia.

4. Lebuh raya-lebuh raya utama di Malaysia.



5. Lembah Klang mempunyai jaringan jalan raya yang paling padat di Malaysia. Lebuh raya yang terdapat di Lembah Klang ialah Lebuh raya Persekutuan, Lebuh raya Lembah Klang Utara (NKVE) dan Lebuh raya Damansara-Puchong. Lebuh raya-lebuh raya ini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.

6. Selain itu, Jambatan Pulau Pinang yang menghubungkan tanah besar Semenanjung Malaysia dengan Pualu Pinang telah meningkatkan sistem pengangkutan darat di Malaysia.



1. Jalan kereta api yang pertama dibina dari Taiping ke Port Weld dengan tujuan untuk mengangkut bijih timah dari kawasan perlombongan ke pelabuhan.

2. Terdapat dua jaringan landasan kereta api utama di Semenanjung Malaysia iaitu di dataran pantai barat dan dataran pantai timur Semenanjung Malaysia.

3. Landasan kereta api di dataran pantai timur dibina pada tahun 1930 dari Gemas (Negeri Sembilan) ke Tumpat (Kelantan) dan sehingga ke Hat Yai di Thailand.

4. Landasan kereta api di dataran pantai barat dibina pada tahun 1913 dari Padang Besar (Perlis) ke Johor Bahru (Johor). Landasan ini menghubungkan semua bandar utama disetiap negeri.

5. Gemas menjadi stesen persimpangan kereta api antara pantai barat dengan pantai timur di Semenanjung Malaysia.

6. Padang Besar, Johor Bahru dan Tumpat menjadi terminal kereta api di Semenanjung Malaysia.

7. Landasan kereta api di pantai barat Semenanjung juga kebanyakannya dihubungkan ke pelabuhan seperti Kuala Lumpur - Pelabuhan Klang dan Seremban - Port Dickson.

8. Landasan kereta api di Sabah adalah pendek (138 km) dan menghubungkan Kota Kinabalu dengan Tenom sahaja.

9. Landasan kereta api di Malaysia sepanjang 1 949 km dan kira-kira 1 811 km dibina di Semenanjung Malaysia.

10. Negeri Terengganu Melaka dan Sarawak tidak mempunyai perkhidmatan kereta api.

11. Di Sarawak, landasan kereta api tidak boleh dibina kerana:
(a) Pantai yang berpaya
(b) Kawasan pedalaman yang bergunung-ganang.
(c) Penduduk kebanyakannya bertumpu di sepanjang sungai

12. Perkhidmatan kereta api adalah penting untuk:
(a) Mengangkut barangan dan penumpang
(b) Meningkatkan hubungan dengan kawasan pedalaman
(c) Membangunkan ekonomi kawasan pedalaman

13. Perkhidmatan kereta api kargo telah menyediakan perkhidmatan pengangkutan barangan dan meningkatkan urusan perniagaan dan perdagangan.

14. Perkhidmatan kereta api penumpang telah menghubungkan bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia melalui Ekspres Sinaran, Ekspres Langkawi, Ekspres Wau dan Ekspres Kenali.

15. Perkhidmatan kereta api 'Ekspres Antarabangsa' yang menghubungkan Bangkok, Kuala Lumpur dan Singapura telah berjaya menggalakkan industri pelancongan di ketiga-tiga negara.

16. Pihak kerajaan Malaysia sentiasa berusaha menambahkan perkhidmatan kereta api. Oleh itu, kerajaan berjaya mengadakan perkhidmatan rel bersepadu di sekitar Lembah Klang.

17. Perkhidmatan ini terdiri daripada Komuter dan transit aliran ringan seperti STAR-LRT, PUTRA-LRT, KL Monorel dan ERL (Express Rail Link).

18. Pada tahun 1995, KTMB telah memperkenalkan perkhidmatan Komuter yang mengubungkan kawasan:
(a) Rawang - Seremban
(b) Pelabuhan Klang - Sentul

19. Pada tahun 1996, transit aliran ringan (STAR-LRT) dimulakan operasinya di sekitar kawasan:
(a) Sentul Timur - Sri Petaling
(b) Sentul Timur - Ampang

20. Pada tahun 1998, sebuah lagi sistem transit aliran ringan (PUTRA-LRT) diperkenalkan di sekitar Kuala Lumpur, Tren ini merupakan tren yang menggunakan sistem tren automatik tanpa pemandu yang terpanjang didunia. Kawasan-kawasan yang dilalui oleh PUTRA-LRT ialah dari Terminal Putra ke Kelana Jaya.

21. Pada tahun 2003, KL Monorel diperkenalkan di kawasan 'Segi Tiga Emas ' iaitu sekitar Jalan Sultan Ismail, Jalan Chulan, Jalan Pudu dan Chow Kit. Ini kerana kawasan-kawasan itu terdiri daripada pelbagai bangunan perdagangan dan perniagaan.

22. Pada tahun 2002, ERL diadakan untuk menghubungkan Kuala Lumpur dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang berada di Sepang. Perjalanannya hanya mengambil masa selama 28 minit sahaja.

23. Perkhidmatan rel bersepadu sangat penting di Kuala Lumpur kerana ia dapat membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas, menjimatkan masa penumpang dan mengurangkan pencemaran udara.

24. Perkhidmatan ini adalah alternatif kepada penumpang selain pengangkutan awam yang lain seperti bas dan teksi.

Pengangkutan Air

1. Terdapat tiga jenis pengangkutan air di Malaysia iaitu:
(a) Pengangkutan sungai
(b) Pengngkutan pesisiran pantai
(c) Pengangkutan laut



1. Pengangkutan sungai adalah lebih penting di Sabah dan Sarawak kerana jalan raya dan jalan kereta api kurang dimajukan.

2. Pengangkutan ini hanya terhad di kawasan pedalaman kerana kos yang lebih murah dan mudah untuk mengangkut barangan pukal dan penumpang dari kawasan pedalaman ke kawasan bandar.

3. Sungai-sungai yang dapat dimudiki adalah seperti Sungai Rajang, Sungai Kinabatangan, Sungai Pahang dan Sungai Perak.

4. Sungai Rajang dapat dimudik hingga ke Kapit dan boleh digunakan untuk mengangkut barangan pukal seperti kayu balak dan penumpang.

5. Sungai Kinabatangan digunakan untuk menghanyutkan kayu balak dari kawasan pedalaman hingga ke Sandakan.

6. Di Semenanjung Malaysia, pengangkutan sungai hanyalah terhad di kawasan pedalaman Pahang dan Kelantan.

7. Di Pahang, cara untuk sampai ke Taman Negara ialah dengan menaiki bot dan yang menyusuri Sungai Tembeling.



1. Pengangkutan persisiran pantai penting bagi penduduk pinggir pantai untuk mengangkut barangan pukal dari pelabuhan kecil ke pelabuhan besar.

2. Lumut ialah sebuah pelabuhan kecil yang membolehkan bot-bot dari Pulau Pangkor bersinggah. Pelabuhan ini juga mengumpulkan hasil tangkapan laut dan menjual di seluruh Semenanjung Malaysia.

3. Pelabuhan ini juga terdapat perkhidmatan polis marin dan pangkalan tentera laut untuk mengawal keselamatan perairan negara.

4. Pelabuhan-pelabuhan persisiran pantai yang penting ialah:
(a) Sandakan
(b) Lahad Datu
(c) Mukah
(d) Sibu



1. Pengangkutan laut penting bagi perdagangan antarabangsa.

2. Pengangkutan laut di Malaysia dapat berkembang kerana:
(a) Dapat mengangkut barangan pukal dengan kos murah
(b) Mempunyai pelabuhan yang dalam
(c) Mempunyai pelabuhan terlindung
(d) Terletak di lokasi strategik
(e) mempunyai kemudahan gudang

3. Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) mengendalikan semua urusan perdagangan luar Malaysia. Ini adalah kerana MISC memiliki kapal kargo, kapal tangki, kapal kontena dan kapal penumpang dengan jumlah yang banyak.

4. Antara pelabuhan antarabangsa biasanya dilengkapi dengan perkhidmatan gudang, limbungan membaiki kapal dan kren memunggah.

5. Antara pelabuhan antarabangsa yang penting di Malaysia ialah:
(a) Pelabuhan Pulau Pinang
(b) Pelabuhan Pasir Gudang
(c) Pelabuhan Klang
(d) Pelabuhan Kuantan

6. Pelabuhan yang mempunyai kemudahan kontena ialah Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Pasir Gudang, Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Bintulu.

7. Pelabuhan Klang merupakan pelabuhan yang tercanggih dan termoden di Malaysia. Ia menyediakan kemudahan kontena dan kemudahan membaiki kapal.

8. Pelabuhan Pulau Pinang merupakan pelabuhan kedua penting di Malaysia. Ia mengendalikan eksport dan import di utara Semenanjung Malaysia.

9. Pelabuhan Pasir Gudang merupakan pelabuhan ketiga pentig di Malaysia. Ia menyediakan kemudahan membaiki dan membuat kapal serta mengendalikan eksport dan import di selatan Semenanjung Malaysia.

10. Pelabuhan-pelabuhan utama di Sabah ialah Pelabuhan Kota Kinabalu dan Sandakan.

11. Pelabuhan utama di Sarawak ialah Pelabuhan Kuching di Pending.

12. Kos pengendalian yang rendah telah menyebabkan pengangkutan laut sesuai untuk urusan eksport dan import barangan pukal.

Pengangkutan Udara

1. Pengangkutan udara yang terdapat di negara kita mula mengalami era perkembangan setelah negara kita mencapai kemerdekaan.

2. Pada tahun 1967, pengangkutan udara dikendalikan oleh Malaysia-Singapore Airlines (MSA)

3. Setelah Singapura diisytiharkan keluar dari Malaysia, pengangkutan udara yang terdapat di negara kita dikendalikan pula oleh Malaysia Airlines System (MAS) dan lapangan terbang terbang pertama beroperasi ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.

4. Lapangan terbang antarabangsa dan domestik dibina untuk menampung perkembangan pengangkutan udara yang berlaku di negara ini setelah MAS mengambil alih pengendaliannya pada tahun 1970.

5. Pada tahun 1970-an, pembesaran lapangan terbang turut dilakukan bertujuan membolehkan penggunaan kapal terbang yang lebih besar seperti DC 10 dan kapal terbang Boeing 747.

6. Beberapa langkah telah diambil untuk melancarkan operasi pengangkutan udara di Malaysia seperti:
(a) memodenkan perkhidmatan trafik udara
(b) menaik taraf kemudahan yang sedia ada
(c) meningkatkan keupayaan pengendalian penumpang dan kargo

7. Untuk menampung keperluan pendaratan lapangan terbang yang semakin meningkat , Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah dibina pada tahun 1998 bagi mengatasi masalah tersebut.

8. Keadaan ini membolehkan MAS menggunakan kapal terbang yang mempunyai kapasiti penumpang yang lebih besar seperti Boeing 747-400 dan Boeing 777-200.

9. Pada tahun 1998 juga, dua terminal baru telah dibina iaitu di Lapangan Terbang Labuan dan di Lapangan Terbang Kota Bahru.

10. MAS juga telah mengadakan usaha sama dengan syarikat-syarikat penerbangan yang lain untuk melancarkan perkhidmatan penerbangan antarabangsa.

11. MAS pada tahun 2003 telah menawarkan penerbangan ke 100 destinasi yang merentasi 6 benua dan menambahkan kekerapan penerbangan ke destinasi luar negara seperti ke Australia dan Eropah.

12. Sejajar dengan perkembangan pengangkutan udara yang berlaku di negara kita, kini terdapat beberapa syarikat penerbangan lain seperti Air Asia Sdn. Bhd, Berjaya dan Pelangi Airways Sdn. Bhd.

13. Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat ini hanya menawarkan perkhidmatan penerbangan dalam negeri sahaja seperti ke Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan serantau.

Faktor Yang Mempengaruhi Jaringan Pengangkutan Negara Malaysia

1. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi jaringan pengangkutan di Malaysia iaitu:
(a) Bentuk muka bumi
(b) Dasar kerajaan
(c) Kegiatan ekonomi
(d) Kemajuan teknologi



1. Bentuk muka bumi mempengaruhi jaringan pengangkutan darat dan air di Malaysia.

2. Banjaran Titiwangsa menjadi penghalang kepada pengangkutan darat di Semenanjung Malaysia. Oleh itu, jalan raya dibina menganjur dari arah utara ke selatan di daratan pantai barat dan dataran pantai timur Semenanjung Malaysia.

3. Walaupun Lebuh raya Timur-Barat dibina dengan melintasi banjaran, tetapi kosnya adalah sangat tinggi kerana kerajaan terpaksa menebus tanah tinggi yang curam.

4. Jalan kereta api di Malaysia dibina di bahagian kaki bukit dan lembah sungai sahaja.

5. Oleh itu, jalan kereta api di Semenanjung Malaysia berbentuk Y untuk mengekalkan Banjaran Titiwangsa.

6. Di Sabah dan Sarawak, bentuk muka bumi yang lebih kasap dan tertumpu di pinggir pantai menyebabkan pengangkutan darat kurang maju.

7. Tanih berpaya juga kurang sesuai untuk dibina jalan raya dan landasan kereta api. Ini kerana tanih berpaya amat lembut dan berair.



1. Dasar kerajaan yang meningkatkan tahap pengangkutan telah membolehkan jalan raya dibina diseluruh negara Malaysia.

2. Program pembangunan tanah rancangan di luar bandar telah mewujudkan jaringan jalan raya dari kawasan petempatan Felda ke kawasan bandar sekitarnya.

3. Kerajaan ingin memajukan kegiatan pelancongan untuk mendapatkan pulangan yang tinggi menyebabkan sistem pengangkutan darat dan udara di kawasan pusat pelancongan menjadi maju dan padat.



1. Kegiatan ekonomi banyak mempengaruhi jaringan pengangkutan darat dan air di Malaysia.

2. Kegiatan ekonomi seperti perniagaan, perdagangan, perindustrian dan perlombongan amat mempengaruhi jaringan darat di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang, Georgetown dan Ipoh.

3. Di Sabah dan Sarawak, kegiatan ekonomi pesat di pinggir sungai menyebabkan pengangkutan air penting daripada pengangkutan darat.

4. Kawasan pertanian juga mempunyai jalan darat yang maju supaya memudahkan kerja mengangkut barangan dari kilang ke pasaran.



1. Kemajuan teknologi membolehkan jaringan pengangkutan berkembang dengan pesat dan maju.

2. Penggunaan teknologi dapat mengurangkan masa perjalanan dan kos dalam pengangkutan.

3. Kemajuan teknologi dan kepakaran dalam pengangkutan darat seperti komuter dan LRT telah mengurangkan kos pengangkutan, mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.

Kepentingan Jaringan Pengangkutan Terhadap Pembangunan Malaysia Dan Kanada

1. Malaysia dan Kanada mempunyai jaringan pengangkutan darat yang termoden di dunia.

2. Kanada mempunyai sebuah lebuh raya yang dikenali sebagai Trans Canada Highway. Lebuh raya ini sepanjang 7 300 km dan menghubungkan St. John's di timur Kanada dengan Victoria di barat Kanada.

3. Malaysia juga mempunyai jaringan lebuh raya yang panjang dan moden iaitu Lebuh raya Utara-Selatan. Lebuh raya ini menghubungkan Bukit Kayu HItam di utara dengan Johor Bahru di selatan Semenanjung Malaysia.

4. Jambatan yang dikenali sebagai Confederation Bridge merupakan jambatan terpanjang dan berterusan melalui laut yang diliputi ais. Jambatan ini menghubungkan Pualu Prince Edward dengan New Brunswick di Kanada.

5. Jambatan Pualu Pinang dibina menghubungkan Pulau Pinang dengan Semenanjung Malaysia.

6. Perkembangan jaring pengangkutan juga memajukan pelbagai jenis industri dan mewujudkan kawasan pelancongan yang baru.

7. Pengangkutan kereta api sangat penting dan utama di Kanada. Ini adalah kerana ia merupakan kaedah pengangkutan yang paling ekonomik untuk mengangkut kontena dab barangan pukal melalui jarak yang jauh.

8. Perkhidmatan Kereta Api Pasifik Kanada dan Kereta Api Kebangsaan Kanada telah membangunkan ekonomi di kawasan pedalaman yang dilalui olehnya.

9. Kemudahan pengangkutan kereta api telah menggalakkan pembukaan tanah untuk menanam gandum dan penternakan.

10. Pengangkutan laut penting untuk menggalakkan kegiatan perniagaan dan perdagangan di Malaysia dan Kanada.

11. Di Kanada, gandum dan hasil perlombongan diangkut oleh trak dan kereta api ke pelabuhan untuk dieksport.

12. Jalan Air St. Lawrence- Tasik-tasik besar di Kanada merupakan jalan air terpanjang di dunia dan menggalakkan pertumbuhan perindustrian dan bandar pelabuhan di Kanada.

13. Lapangan terbang antarabangsa di Kanada ialah Montreal dan Vancouver.

14. Di Kanada, pengangkutan udara juga boleh digunakan untuk mengesan dan mengawal kejadian kebakaran hutan pada musim panas.

Kesan Perkembangan Pengangkutan Terhadap Alam Sekitar

1. Perkembangan jaringan pengangkutan yang berlaku di negara kita telah memberikan kesan terhadap alam sekitar fizikal dan alam sekitar budaya.

2. Terdapat kesan positif dan negatif di sebalik perkembangan sistem pengangkutan yang berlaku di negara ini.





3. Pembinaan lapangan terbang memberikan kesan terhadap alam sekitar melalui bunyi bising yang dikeluarkan. Bunyi bising ini menganggu ketenteraman penduduk di sekitarnya.

4. Manakala perkembangan pengangkutan air juga turut memberikan kesan terhadap alam sekitar di sesuatu kawasan. Antara kesan yang sering berlaku ialah tumpahan minyak dari kapal-kapal yang mencemarkan perairan laut dan mengancam hidupan laut.

Langkah-langkah Mengurangkan Kesan Negatif Perkembangan Pengangkutan Terhadap Alam Sekitar

1. Langkah-langkah untuk mengurangkan kesan negatif perkembangan pengangkutan terhadap alam sekitar ialah:
(a) Pengurusan trafik yang lebih efisien.
(b) Memasang alat catalytic converter
(c) Kempen kesedaran
(d) Menanam rumput di cerun
(e) Kawalan undang-undang.

2. Pihak kerajaan mengadakan pengurusan trafik yang lebih efisien di kawasan yang mempunyai kenderaan bermotor yang banyak seperti Kuala Lumpur.

3. Oleh itu, kerajaan mengadakan pelbagai jenis pengangkutan awam seperti Komuter, LRT dan KL Monorel untuk menggalakkan penduduk menggunakan pengangkutan awam pada waktu puncak seperti waktu pergi kerja dan waktu lepas kerja.

4. Tujuannya adalah untuk mengurangkan keadaan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara di kawasan bandar.

5. Selain itu pihak kerajaan juga menggalakkan penduduk yang memiliki kenderaan bermotor memasang alat catalytic converter paad ekzos kereta mereka.

6. Alat ini dapat menukarkan gas beracun kepada bentuk gas yang tidak memudaratkan seperti karbon dioksida.

7. Pihak kerajaan juga selalu mengadakan kempen untuk menggalakkan penduduk berkenderaan menggunakan petrol tanpa plumbum.

8. Di samping itu, kerajaan juga menggalakkan penduduk di kawasan bandar mengadakan amalan perkongsian kereta untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di bandar.

9. Kesan negatif pembinaan jalan raya dan lebuh raya dapat di atasi dengan menanam rumput dicerun bukit yang telah dipotong dan membina longkang yang besar untuk mengelakkan air hujan melonggarkan tanah.

10. Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengadakan pelbagai undang-undang untuk mengurus alam sekitar seperti:
(a) Peraturan Kawalan Pelepasan 1996 daripada enjin diesel.
(b) Peraturan Kawalan Pelepasan 1996 daripada enjin petrol.
(c) Akta Kualiti Alam Sekitar 1978.

11. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis juga mengadakan pelbagai kempen untuk mengurangkan pelepasan asap hitam daripada kenderaan berenjin diesel.



bab 14 keperluan pengangkutan dan perhubungan awal


GEOGRAFI - TINGKATAN 2

KEPERLUAN PENGANGKUTAN DAN PERHUBUNGAN

PETA MINDA



Pengangkutan Dan Perhubungan Awal

1. Pada masa dahulu jalan darat dan jalan air merupakan sistem pengangkutan dan perhubungan yang menghubungi satu tempat dengan tempat yang lain.

2. Penduduk-penduduk berjalan kaki menggunakan denai dan lorong di atas darat untuk mencari makanan dan menghubungkan kawasan pedalaman.

3. Binatang-binatang seperti gajah, lembu dan kuda digunakan untuk berhubung di atas darat.

4. Keadaan bentuk muka bumi yang berhutan tebal, berpaya dan berbukit bukau menyebabkan penduduk sukar merentasi dan berhubung.

5. Selain itu, masa yang diambil juga lama dan barangan yang diangkut terhad.

6. Jalan air yang melalui sungai dan laut sangat penting bagi kawasan yang terletak berhampiran dengan sungai dan pinggir laut.

7. Penduduk menggunakan perahu, rakit dan jong sebagai alat untuk mengangkut orang, barangan dan surat.

8. Alat pengangkutan air ini amat bergantung kepada aliran air, tenaga manusia dan tiupan angin.

9. Perdagangan pada masa dahulu ialah melalui sistem barter. Oleh itu, sungai digunakan untuk membawa hasil dagangan ke merata-rata temapt lain untuk ditukarkan.

10. Dari segi perhubungan, penduduk menggunakan isyarat asap atau bunyi untuk berhubung dengan penduduk di kawasan lain.

11. Isyarat asap dihasilkan oleh api yang menyalakan kayu dan mengeluarkan asap ke udara, pihak lain akan memahami maksud yang dikeluarkan oleh asap di udara.

12. Isyarat bunyi dihasilkan oleh suara memukul beduk, ketuk-ketuk dengan batang kayu atau buluh dan laungan. Pihak yang mendengar suara itu akan memahami maksud maklumat yang ingin disampaikan.

13. Di samping itu, isyarat juga boleh digunakan untuk mengumpulkan orang kampung bagi tujuan tertentu.

Keperluan Pengangkutan dan Perhubungan Awal Pada Zaman Penjajah

1. Penjajah British di Tanah Melayu pada abad 1800-an telah mempengaruhi perkembangan pengangkutan dan perhubungan di negara kita.

2. Kedatangan penjajah British bertujuan mengekploitasi sumber seperti bijih timah dan getah. Mereka membina kemudahan pengangkutan seperti jalan kereta api, jalan raya dan pelabuhan untuk mengeksport sumber-sumber tersebut.



1. Kemasukan penjajah British dengan tujuan mengeksploitasi bijih timah secara tidak langsung telah memajukan sistem pengangkutan di Tanah Melayu.

2. Landasan kereta api yang pertama telah dibina dari Taiping ke Port Weld (Kuala Sepetang) bagi mengangkut bijih timah untuk dieksport. Landasan kereta api sepanjang 13 km telah di buka pada tahun 1885.

3. Landasan kereta api ini dibina dengan jarak dekat dan tumpuan pembinaan hanyalah di kawasan pengeluaran sahaja.

4. Landasan kereta api yang seterusnya ialah
(a) Seremban ke Port Dickson (1891)
(b) Kuala Lumpur ke Port Swethenham (Pelabuhan Klang)
(c) Tapah ke Teluk Anson (Teluk Intan)

5. Perkembangan sistem kereta api ini telah mengubah ekonomi negara daripada sara diri kepada ekonomi eksport.

6. Walau bagaimanapun penjajah Britidh hanya memberi tumpuan di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia sahaja. Keadaan ini menyebabkan kawasan pantai barat mempunyai rangkaian perhubungan yang lebih padat daripada kawasan pantai timur.

7. Di Sabah landasan kereta api mula dibina dari Weston ke Beaufort dan dari Tenom ke Jesselton.

8. Di Sarawak pula landasan kereta api dibina bagi menghubungkan bandar Kuching dengan Batu 10. Namun begitu pembinaan landasan kereta api di Sarawak tidak begitu penting memandangkan negeri ini masih bergantung kepada sistem pengangkutan air untuk mengangkut hasil pertanian.

9. Jalan raya yang pertama dibina ialah jalan kereta lembu. Jalan ini menghubungkan Taiping dengan Matang, bersambung ke Krian dan seterusnya ke Seberang Perai.

10. Pembukaan kawasan perlombongan bijih timah di kawasan pedalaman telah menyebabkan jalan raya dibina.

11. Bijih timah , pekerja-pekerja dan segala keperluan perlombongan diangkut dari stesen kereta api dan pelabuhan melalui jalan raya ke kawasan perlombongan.

12. Jalan raya ini menghubungkan kawasan perlombongan di Larut Pelabuhan Pulau Pinang. Jenis kenderaan yang digunakan pada ketika itu adalah seperti kereta lembu, beca(lanca) dan kereta kuda.

13. Terciptanya enjin dan kenderaan bermotor telah memperkenalkan pengangkutan bas dan lori. Peningkatan penggunaan kenderaan ini telah menjadikan sistem jalan raya lebih penting daripada jalan kereta api keraan tahap ketersampaiannya dan memudahkan pengangkutan barang dari pintu ke pintu.



1. Pengangkutan air iaitu melalui sungai dan pelabuhan sangat penting pada zaman penjajah British.

2. Tongkang dan kapal susur pantai digunakan sebagai alat mengangkut bekalan, makanan, jentera dan buruh. Hasil kemudiannya dibawa ke gudang yang terletak di tepi-tepi sungai sebelum dipunggah ke kapal untuk dieksport.

3. Penggunaan tongkang dan kapal wap dapat mempercepatkan penghantaran barangan seperti bijih timah dan getah. Pengangkutan air juga digunakan utnuk membawa masuk buruh-buruh asing dari India dan China ke Tanah Melayu.

4. Pelabuhan-pelabuhan awal seperti Pelabuhan Pulau Pinang, Port Swettenham (Pelabuhan Klang), Port Dickson dan Pelabuhan Labuan turut dibuka oleh British semasa penjajahannya di Tanah Melayu.

5. Pelabuhan Port Dickson dan Pelabuhan Port Swettenham telah berkembang sebagai pelabuhan untuk mengeksport barangan seperti bijih timah dan getah selain menjadi pusat mengimport barangan dan perkakasan buatan kilang.



1. Selain pengangkutan, penjajah British juga memajukan perkhidmatan perhubungan seperti pos, telegraf dan telefon.

2. Perkhidmatan pos mula diperkenalkan oleh penjajah British pada tahun 1800. Pada tahun 1862, Jabatan Perkhidmatan pos yang pertama telah ditubuhkan di Negeri-Negeri Selat yang beribu pejabat di Pulau Pinang.

3. Perkhidmatan pos pada ketika itu hanyalah tertumpu kepada pengendalian surat-menyurat sebelum berkembang kepada pengangkutan surat khabar, dokumen perniagaan, bungkusan, dan kemudahan insurans.

4. Talian telegraf yang pertama dibina pada tahun 1876 untuk menghubungkan Kuala Kangsa dengan Taiping dan seterus berkembang hingga ke Kamunting dan Bukit Gantang.

5. Sistem perhubungan telegraf sangat penting dalam pentadbiran dan penguatkuasaan penjajahan di negeri-negeri Melayu.

6. Pembinaan sistem telegraf oleh pihak British pada peringkat awalnya adalah untuk memantau dan menjaga kepentingan kawasan perlombongan mereka yang terdapat di negeri Perak dan Selangor.

7. Pembinaan sistem ini juga bertujuan menyampaikan maklumat dan arahan dengan lebih cepat dari pusat pentadbiran jajahan di Singapura ke pusat pentadbiran negeri-negeri di Tanah Melayu.

8. Pada tahun 1886, perkhidmatan telefon telah diperkenalkan di Negeri-negeri Selat. Ketika itu telefon hanya digunakan untuk tujuan keselamatn dan dipasang untuk menghubungi balai polis sahaja.

9. Perkhidmatan telefon bukan sahaja digunakan untuk tujuan pentadbiran, malah telefon juga turut digunakan oleh peniaga , pemodal dan pengusaha estet yang memerlukan maklumat tepat dan cepat.

10. Pihak British juga memperkenalkan perkhidmatan telegram di Tanah Melayu semasa penjajahan mereka. Penghantaran maklumat melalui telegram boleh dilakukan di balai polis dengan menggunakan radio polis.

11. Melalui kaedah ini, maklumat dapat disampaikan dengan lebih berkesan untuk usaha-usaha menyelamat terutama ketika berlakunya kejadian yang tidak diingini seperti kejadian banjir besar yang pernah melanda Tanah Melayu pada tahun 1926.


bab 13 pembandaraan


GEOGRAFI - TINGKATAN 2

PEMBANDARAN

PETA MINDA



Pengenalan

1. Proses pembandaran merupakan satu proses penumpuan penduduk di kawasan bandar.

2. proses pembandaran juga dikenali sebagai proses urbanisasi.

3. Proses pembandaran boleh menyebabkan perubahan dalam:
(a) Jumlah penduduk
(b) Fungsi bandar
(c) Penggunaan tanah
(d) Cara hidup penduduk

4. Bandar-bandar di Malaysia mengalami pembandaran yang pesat selepas negara mencapai kemerdekaan.

5. Jumlah penduduk di bandar bertambah dengan cepat kerana migrasi luar bandar ke bandar berlaku dengan giat disebabkan penduduk luar bandar ingin mencari lebih banyak peluang pekerjaan di bandar.

6. Bandar-bandar besar yang berlaku pembandaran ialah seperti:
(a) Kuala Lumpur
(b) Georgetown
(c) Ipoh
(d) Johor Bahru
(e) Kuantan

7. Pembandaran menyebabkan jumlah penduduk disesuatu kawasan bertambah dengan banyak.

8. Ini adalah kadar kerana pertambahan semula jadi penduduk meningkat dan migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar.

9. Kegiatan ekonomi sesuatu kawasan yang mengalamiproses pembandaran akan berubah dari sektor primer kepada sektor sekunder dan tertier.

10. Keadaan ini bermakna sesuatu kawasan itu tidak lagi hanya berfungsi sebagai pusat pertanian, perikanan tetapi berfungsi sebagai pusat perniagaan, perdagangan, perindustrian dan perkhidmatan.

11. Pihak berkuasa tempatan telah menyediakan banyak kemudahan asas di kawasan pembandaran untuk memenuhi keperluan penduduk yang semakin ramai.

12. Kemudahan yang ditambahkan di kawasan pembandaran adalah seperti jaringan jalan raya, hospital, perumahan, sekolah dan taman rekreasi.

13. Tujuannya adalah supaya penduduk di kawasan pembandaran dapat kemudahan yang sempurna dan dapat meningkatkan taraf hidup penduduk.


Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Pembandaran Negara Malaysia

1. Faktor-faktor yang mempengaruhi pembandaran Malaysia ialah:
(a) Dasar kerajaan (gavernan)
(b) Peluang pekerjaan
(c) Migrasi penduduk



1. Dasar Ekonomi Baru 1970 dan Rancangan Lima Tahun yang memperkenalkan pembukaan kawasan baru dan bandar kecil telah menyebabkan proses pembandaran berlaku dengan pesat di bandar dan kawasan sekitarnya.

2. Tindakan ini telah menyebabkan ramai penduduk dari luar bandar berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan yang lebih baik.

3. Terdapat beberapa kawasan di setiap negeri di Malaysia diisytiharkan oleh kerajaan sebagai kawasan perindustrian iaitu Petaling Jaya, Bayan Lepas, Air Keroh, Pasir Gudang dan sebagainya.

4. Di samping itu, kerajaan juga menubuhkan Zon Perdagangan Bebas di beberapa tempat seperti Petaling Jaya, Sungei Way, Bayan Lepas dan Pasir Gudang.

5. Zon Perdagangan Bebas dilengkapi dengan pelbagai kemudahan infrastruktur, taraf perintis dan pengecualian cukai pendapatan. Kemudahan-kemudahan ini telah menarik pelabur-pelabur asing untuk melabur di Malaysia.

6. Selain itu, pihak kerajaan telah menubuhkan bandar-bandar baru seperti Shah Alam, Nilai, Senawang dan sebagainya.

7. Tujuan kerajaan menubuhkan bandar baru adalah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menggalakkan penghijrahan penduduk dari luar bandar.



1. Peluang pekerjaan dalam sektor perdagangan, perniagaan dan perindustrian telah menggalakkan penumpuan penduduk dari luar bandar ke kawasan pembandaran.

2. Perkembangan industri kilang dari industri perkhidmatan di bandar telah memperluaskan peluang pekerjaan.

3. Penduduk dari luar bandar berhijrah ke bandar untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik dalam pelbagai sektor dan mereka menetap di kawasan sekitar bandar dan lama-kelamaan kawasan mereka juga berkembang menjadi kawasan bandar seperti Petaling Jaya dan Shah Alam.

4. Selain itu, program tanah rancangan juga mempengaruh pembandaran Malaysia iaitu mewujudkan peluang pekerjaan di luar bandar dan menggalakkan penduduk berhijrah ke kawasan baru tersebut untuk mengusahakan.

5. Semakin ramai penduduk berhijrah ke kawasan tersebut. proses pembandaran akan berlaku dan kawasan tersebut akan menjadi bandar.



1. Pembandaran dan perkembangan bandar dipengaruhi oleh migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar.

2. Faktor-faktor yang menarik penduduk luar bandar berhijrah ke bandar ialah:
(a) Peluang pekerjaan yang pelbagai dan banyak
(b) Kadar upah lebih lumayan
(c) Kemudahan asas yang lengkap
(d) Kestabilan politik
(e) Peluang melanjutkan pelajaran

3. Faktor-faktor tolakan di luar bandar ialah:
(a) Kekurangan peluang pekerjaan
(b) Kemiskinan di dalam keluarga
(c) Kekurangan kemudahan infrastruktur
(d) Bencana alam

Fungsi Petempatan Bandar

1. Sesebuah petempatan bandar yang terdapat di negara ini mempunyai kepelbagaian fungsi. Fungsi sesebuah bandar adalah berdasarkan kepada bentuk kegiatan ekonomi, sosial dan politik yang terdapat di sesebuah petempatan.

2. Terdapat bandar-bandar di negara Malaysia yang berfungsi sebagai pusat pentadbiran. Bandar ini biasanya merupakan bandar utama atau ibu negeri. Peta di bawah menunjukkan ibu negeri bagi negeri-negeri yang terdapat di Malaysia.


Ibu negeri-ibu negeri di Malaysia

3. Pejabat-pejabat pentadbiran persekutuan dan negeri serta ibu-ibu pejabat syarikat swasta terletak di dalam bandar-bandar ini. Antara bandar seumpama ini seperti Kuala lumpur, Ipoh, Shah Alam, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Melaka.

4. Pusat perniagaan dan perdagangan merupakan salah satu fungsi petempatan bandar di negara ini. Di bandar terdapatnya gedung-gedung perniagaan, pusat perkhidmatan kewangan dan pusat membeli-belah serta aktiviti import dan eksport.

5. Antara bandar di negara ini yang berfungsi sebagai bandar perniagaan dan perdagangan adalah seperti Georgetown, Ipoh, Johor Bahru, Sandakan dan Kuching.

6. Terdapat juga petempatan bandar yang berfungsi sebagai pusat perindustrian. Kawasan perindustrian Petaling Jaya, Shah Alam, Bayan Lepas, Ayer Hitam, Bukit Mertajam dan Kulim merupakan antara beberapa bandar perindustrian yang terdapat di negara ini.

7. Penduduk yang tinggal di sekitar kawasan bandar perindustrian biasanya bekerja di kilang-kilang yang terdapat dalam kawasan tersebut.

8. Petempatan bandar juga turut berfungsi sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian yang dibekalkan dari kawasan bandar . Antara bandar tersebut ialah seperti Kota Bahru, Sandakan, Temerloh, Tawau, Raub dan Tumpat.

9. Selain itu, petempatan bandar juga turut berfugsi sebagai pusat pendidikan. Institusi pengajian tinggi awam dan kolej-kolej swasta biasanya terletak di kawasan bandar ini. Bandar Baru Bangi di Selangor contohnya menempatkan pelbagai institusi pengajian tinggi seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Maktab Perguruan Islam, Pusat Matrikulasi Bangi, dan kolej Persediaan MARA.

10. Aktiviti perlombongan bijih timah yang terdapat di bandar Ipoh dan Taiping serta perlombongan petroleum di Kerteh, Terengganu dan Miri, Sarawak telah menyebabkan bandar-bandar tersebut berfungsi sebagai pusat perlombongan.

11. Pusat perhubungan dan pengangkutan yang menempatkan terminal utama pengangkutan jalan raya dan kereta api merupakan salah satu fungsi petempatan bandar di Malaysia. Tumpat merupakan terminal kereta api di pantai timur Semenanjung Malaysia.

12. Bandar raya Kuala Lumpur misalnya menempatkan Hentian Putra dan Puduraya sebagai terminal utama pengangkutan bas ekspres dan Sentral Kuala Lumpur berfungsi sebagai terminal utama Kereta api Tanah Melayu (KTM) bagi seluruh Semenanjung Malaysia.

13. Petempatan bandar juga berfungsi sebagai pusat pertahanan negara. Bandar-bandar seperti Port Dickson, Lumut dan Butterworth menempatkan markas-markas tentera, pengkalan tentera udara, darat dan laut, berek tentera, pusat latihan, serta tempat simpanan senjata dan peluru.

14. Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan Bukit Fraser pula berfungsi sebagai pusat pelancongan dan peranginan di negara ini. Pulau Langkawi juga merupakan pusat pelancongan yang terkenal di negara ini kerana adanya pusat membeli-belah bebas cukai dan keindahan pantainya yang bersih dan menarik.

15. Pusat kebudayaan adalah salah satu fungsi petempatan bandar. Di bandar terdapatnya pusat-pusat pelbagai kebudayaan, balai seni, panggung kebudayaan dan pusat kraf tangan serta cenderamata. Contohnya seperti di bandar raya Kuala Lumpur terdapat Istana Budaya yang digunakan untuk kegiatan pementasan.

16. Kemudahan pelabuhan untuk pengendalian aktiviti eksport dan import di negara ini telah menyebabkan wujudnya bandar-bandar seperti Georgetown, Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pasir Gudang di Johor, Kuching di Sarawak dan Sandakan di Sabah berfungsi sebagai pusat pelabuhan di negara ini.

Kesan Pembandaran

1. Proses pembandaran yang berlaku di sesebuah negara telah menimbulkan pelbagai kesan positif dan negatif di negara-negara seperti Malaysia, Thailand dan Jepun.

2. Bandar-bandar utama di negara-negara ini seperti bandar raya Kuala Lumpur, Malaysia, metropolis Bangkok di Thailand dan metropolis Tokyo di Jepun menerima kesan-kesan daripada proses pembandaran yang berlaku.

Kesan Positif Pembandaran



1. Proses perbandaran telah menyebabkan peningkatan penduduk bandar di negara Malaysia, Thailand dan Jepun. Pertambahan ini telah meningkatkan bekalan tenaga kerja untuk pelbagai sektor seperti perindustrian, perniagaan dan perkhidmatan.

2. Kepelbagaian ekonomi di bandar telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan seperti di bandar raya Kuala Lumpur, metropolis Bangkok dan metropolis Tokyo.



1. Pertambahan penduduk kesan daripada proses pembandaran telah menggalakkan kerajaan menambah dan meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan bandar seperti kemudahan pengangkutan, pendidikan, kesihatan, bekalan elektrik dan air.

2. Jaringan pengangkutan seperti jalan raya diperlebarkan dan lebuh raya bertingkat turut dibina untuk keselesaan penduduk di bandar seperti bandar raya Kuala Lumpur dan metropolis Bangkok.

3. Selain itu, turut dibina Sistem Pengangkutan Transit Ringan (LRT), Komuter dan Monorel di bandar raya Kuala Lumpur serta kereta api peluru (Bullet Train) dan kereta api bawah tanah di metropolis Tokyo, Jepun untuk kegunaan penduduknya.

4. Kerajaan Thailand menyediakan kemudahan pengangkutan air seperti yang terdapat di metropolis Bangkok. Sepanjang Sungai Chao Phraya dibina terusan yang dikenali sebagai Klong sehinggakan Bangkok digelar Venice Timur. Pasar Terapung Damnoen Saduak menjadi destinasi perniagaan terapung yang terkenal di metropolis Bangkok.

5. Kerajaan turut meningkatkan kemudahan sosial di kawasan bandar seperti pusat-pusat kesihatan, pusat rekreasi dan pusat perubatan. Kemudahan ini bertujuan membolehkan penduduk menikmati taraf hidup yang lebih sihat.

6. Misalnya, kerajaan Malaysia menyediakan Taman Tasik Perdana dan Tasik Titiwangsa di bandar raya Kuala Lumpur sebagai lokasi riadah kepada penduduknya. Begitu juga keadaannya dengan metropolis Tokyo yang terdapat kawasan riadah seperti Ueno, Shiba dan Hibiya.



1. Kepelbagaian kegiatan ekonomi yang terdapat di bandar telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduknya. Kadar upah yang diberi jauh lebih tinggi berbanding luar bandar.

2. Keadaan ini membolehkan penduduk yang bekerja di bandar meningkatkan taraf hidup mereka melalui pendapatan yang diperoleh.

3. Kemudahan pendidikan yang lengkap di bandar membolehkan penduduknya memperoleh pendidikan yang lebih sempurna dan tinggi. Universiti dan kolej-kolej swasta didirikan untuk memenuhi keperluan tersebut.

4. Bandar raya Kuala Lumpur misalnya terdapat Universiti Malaya, Universiti Tun Abdul Razak, Kolej Cosmopoint dan sebagainya untuk kemudahan pendidikan kepada penduduknya. Begitu juga dengan Universiti Tokyo di metropolis Tokyo dfan Universiti Chulalongkorn di metropolis Bangkok.



1. Peningkatan jumlah penduduk di bandar turut meningkatkan kemudahan kesihatan seperti hospital dan klinik.

2. Kemudahan yang disediakan di hospital membolehkan penduduk menikmati kesihatan yang lebih baik. Misalnya di metropolis Bangkok terdapatnya kemudahan hospital seperti Hospital Besar Bangkok dan Hospital Bumrungrad.

3. Hospital Selayang yang terdapat di bandar Selayang, hospital Universiti Tokyo, Hospital Komegome dan Pusat Kanser Kebangsaan di metropolis Tokyo juga merupakan kemudahan kesihatan yang disediakan kepada penduduknya.



1. Pelancong yang datang ke negara Malaysia, Thailand dan Jepun turut menjadikan kawasan bandar sebagai destinasi pelancongan selain daripada pusat peranginan pantai yang terdapat di negara-negara tersebut.

2. Destinasi pelancongan seperti Taman Tema Air Desa dan Mines Wonderland di Bandar raya Kuala Lumpur serta Safari World di metropolis Bangkok dan Disneyland di metropolis Tokyo menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

3. Destinasi-destinasi pelancongan ini bukan sahaja dinikmati oleh pelancong malahan kepada mereka yang tinggal di bandar.



1. Kawasan pinggir bandar akan menerima kesan pembangunan di bandar apabila berlakunya perluasan pusat bandar. Contohnya, Batu Caves yang terletak di kawasan Kuala Lumpur utara telah menerima kesan pembangunan yang berlaku di bandar raya Kuala Lumpur.

2. Proses pembandaran yang berlaku di metropolis Tokyo juga telah menyebabkan kawasan seperti sempadan Wilayah Chiba di Timur, Wilayah Saitama di bahagian utara, dan Wilayah Kanagawa di bahagian selatan menerima kesan pembangunan yang berlaku.

Kesan Negatif Pembandaran


1. Proses pembandaran yang berlaku telah menyebabkan kesesakan lalu lintas di badar terutama ketika waktu puncak, iaitu semasa penduduk pergi dan pulang dari kerja. Keadaan ini akan diburukkan lagi apabila berlakunya banjir kilat.

2. Jumlah kenderaan yang banyak menuju ke pusat bandar raya Kuala Lumpur telah menyebabkan kesesakan lalu lintas sering berlaku. Begitu juga keadaannya apabila berlakunya banjir kilat di bandar raya Kuala Lumpur.

3. Selain Bandar raya Kuala Lumpur, metropolis Bangkok juga turut mengalami masalah kesesakan lalu lintas kerana banyaknya jumlah kenderaan di jalan raya dan ketika berlakunya banjir kilat.



1. Jumlah kenderaan yang semakin bertambah telah menyebabkan pencemaran udara dan pencemaran bunyi berlaku di Bandar raya Kuala Lumpur, metropolis Bangkok dan metropolis Tokyo.

2. Gas-gas seperti karbon dioksida, karbon monoksida, sulfur oksida, hidrokarbon dan nitrogen oksida yang dibebaskan daripada kenderaan telah menyebabkan berlakunya pencemaran udara di bandar-bandar tersebut.

3. Gas-gas yang dibebaskan ke udara ini bukan sahaja mencemarkan udara malahan akan memburukkan lagi fenomena pulau haba yang berlaku di bandar kesan daripada peningkatan suhu yang berlaku di udara.

4. Jumlah kenderaan yang terlalu banyak di jalan raya telah menghasilkan bunyi bising sehingga mengakibatkan pencemaran bunyi berlaku. Keadaan ini menggangu ketenteraman penduduk terutama kepada mereka yang tinggal berhampiran dengan jalan raya atau lebuh raya.

5. Bandar juga turut dicemari dengan pembuangan sampah sarap secara tidak terurus di kalangan penghuninya. Sungai Klang di bandar raya Kuala Lumpur dan Sungai Chao Phraya, Bangkok menjadi tempat pembuangan sampah sarap sehingga mengakibatkan airnya tercemar.

6. Pencemaran air juga berlaku disebabkan oleh pembuagan sisa domestik dan pembuagan sisa kilang. Pertambahan jumlah penduduk dan peningkatan jumlah kilang akan memburukkan lagi keadaan ini. Contohnya di metropolis Tokyo, sisa-sisa kilamng di buang ke pantai sehingga menyebabkan hidupan akuatik di kawasan tersebut tercemar. penduduk disekitar kawasan Kumamoto misalnya, pernah mendapat penyakit Minamata kerana memakan ikan yang sudah tercemar.



1. Bangunan konkrit dan jalan raya yang berturap menajdi punca utama masalah banjir kilat yang sering berlaku di bandar.

2. Jalan yang berturap akan menyebabkan resapan larian air permukaan ke dalam bumi terhalang dan sistem saliran yang sedia ada tidak mampu menampung jumlah air yang meningkat secara mendadak.

3. Keadaan banjir kilat akan bertambah buruk sekiranya sistem perparitan yang terdapat di bandar tidak sempurna dan dipenuhi sampah sarap kerana tiada pengurusan yang cekap.



1. Kawasan setinggan adalah kesan negatif yang paling ketara akibat proses pembandaran yang berlaku.

2. Masalah petempatan setinggan yang wujud di kawasan bandar disebabkan oleh:
(a) jumlah rumah yang tidak mencukupi
(b) kadar sewa rumah yang terlalu tinggi
(c) harga tanah yang tinggi

3. Penduduk yang tidak mampu memiliki rumah mengambil jalan mudah dengan mendirikan petempatan di atas tanah-tanah kerajaan dan persendirian serta di kawasan tebing sungai dan di sepanjang landasan kereta api.

4. Petempatan ini bukan sahaja mencemarkan pemandangan bandar, malah menimbulkan masalah sosial seperti keselamatan kesihatan, dan ketidakselesaan penduduk sekitarnya.

5. Bandar raya Kuala Lumpur dan metropolis Bangkok merupakan contoh bandar yang mempunyai masalah petempatan setinggan yang amat ketara.



1. Pendapatan yang lumayan dan taraf hidup yang lebih tinggi menyebabkan migrasi penduduk luar bandar ke bandar berlaku.

2. Migrasi penduduk luar bandar ke bandar ini telah mengurangkan jumlah tenaga kerja di kawasan luar bandar.

3. Keadaan ini mengakibatkan banyaknya kawasan pertanian di luar bandar yang tidak dimajukan dan terbiar begitu sahaja.


Langkah-langkah Mengurangkan Masalah Pembandaran



1. Masalah kesesakan lalu lintas dapat diatasi dengan melaksanakan beberapa perkara. Antaranya termasuklah
(a) melaksanakan kempen untuk menggalakkan penduduk berkongsi kereta (car pool) dan menggunakan kenderaan awam.
(b) kerja-kerja melebarkan jalan raya dan membina lebih banyak jejantas perlu dilakukan.
(c) meningkatkan pembinaan Pengangkutan Aliran Ringan (LRT) dan monorel untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.
(d) memperkenalkan sistem pengangkutan lebih bersepadu di kawasan bandar seperti mengadakan sistem kawalan lalu lintas berkomputer seperti yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
(e) mengadakan zon larangan untuk menghadkan kemasukan kenderaan tertentu ke bandar tertentu pada waktu tertentu.


1. Masalah pencemaran juga dapat diatasi dengan beberapa perkara seperti;
(a) menguatkuasakan undang-undang seperti Akta Alam Sekitar supaya kilang-kilang memasang penapis dan meninggikan cerobong asap.
(b) mengenakan denda yang tinggi terhadap kilang-kilang yang membuang sisa buangan ke udara dan sungai.
(c) memperkenalkan konsep penghijauan bandar dengan menanam pelbagai jenis pokok di bandar. Contohnya Bandar raya Kuching dan badar raya Kuala Lumpur ditanam dengan pelbagai tumbuhan bagi mewujudkan bandar dalam taman.
(d) membina loji kumbahan untuk merawat air kumbahan.
(e) memasang perangkap sampah sarap di sungai untuk memerangkap sampah yang dibuang ke sungai.
(f ) memperkenalkan Green Belt di dalam kawasan bandar.


1. Masalah kekurangan tempat tinggal dapat diatasi dengan:
(a) memperbanyakkan pembinaan rumah kos rendah dan pangsapuri. contohnya, Bandar raya Kuala Lumpur dan Bandar raya Kuching dan Pulau Pinang dibina rumah-rumah kos rendah dan pangsapuri untuk penduduk berpendapatan sederhana.
(b) menempatkan semula penduduk di petempatan setinggan ke petempatan yang lebih terancang.
(c) mengurangkan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar dengan membuka kawasan perindustrian di luar bandar.
(d) melaksanakan konsep memperbandarkan kampung untuk mengurangkan tumpuan penduduk ke bandar.



1. Masalah pembuangan sisa pepejal dan banjir kilat mungkin dapat diatasi dengan:
(a) mewujudkan tapak pelupusan sampah sarap dan sisa-sisa buangan kilang yang lebih terurus.
(b) menggunakan sistem insinerator untuk menggantikan sistem pembuangan sampah secara terbuka.
(c) menaiktarafkan sistem perparitan dan saliran yang terdapat di bandar.
(d) membina sistem saliran dan perparitan yang lebih sistematik.
(e) memperluas dan mendalamkan dasar sungai untuk menampung jumlah air yang lebih banyak. Contohnya, di bandar raya Kuala Lumpur, Sungai Gombak dan Sungai Klang telah dilebar dan didalamkan agar mampu menampung jumlah air yang banyak. Sungai Segget di bandar raya Johor Bahru juga turut dinaiktarafkan untuk tujuan tersebut.


bab12 petempatan


GEOGRAFI - TINGKATAN 2

PETEMPATAN

PETA MINDA


Pengenalan

1. Petempatan merujuk kepada tempat manusia tinggal dan berinteraksi antara satu dengan yang lain melalui pelbagai aktiviti. Aktiviti-aktiviti tersebut adalah seperti pertanian, perikanan, perlombongan, pembalakan, perindustrian, perniagaan dan perkhidmatan.

2. Kebanyakkan petempatan mempunyai saiz dan taburan yang berbeza. Misalnya, petempatan di kawasan kebun kecil berbentuk petempatan berselerak manakala petempatan yang besar dan padat adalah seperti bandar raya.

3. Petempatan di bandar lebih lengkap dengan pelbagai prasarana dan perkhidmatan berbanding petempatan di luar bandar.

Petempatan Awal

1. Petempatan merupakan kawasan kediaman penduduk dan tempat penduduk melakukan kegiatan harian masing-masing.

2. Petempatan awal di dunia bermula di lembangan sungai. Contohnya
(a) Tamadun Mesopotamia di Lembangan Sungai Tigris-Euphrates
(b) Tamadun Mesir Purba di Lembangan Sungai Nil
(c) Tamadun Indus di Lembangan Sungai Indus
(d) Tamadun Hwang He di Lembangan Sungai Hwang He

3. Faktor-faktor yang mempengaruhi petempatan awal di lembangan sungai ialah:
(a) Dataran sungai yang rata dan subur dengan tanih aluvium
(b) Sungai membekalkan air untuk kegunaan domestik dan pengairan
(c) Sungai merupakan jalan pengangkutan utama penduduk
(d) Terdapat kawasan rumput untuk ternakan

4. Petempatan awal di Malaysia kebanyakannya terdapat di:
(a) Pinggir pantai
Petempatan dibina kerana penduduk menjalankan kegiatan menangkap ikan.
(b) Delta
Petempatan dibina kerana penduduk menjalankan kegiatan bercucuk tanam seperti menanam padi.
(c) Muara sungai
Petempatan dibina kerana mempunyai kemudahan pengangkutan air iaitu jalan sungai atau jalan laut.
(d) Pinggir sungai
Petempatan dibina kerana sungai membekalkan sumber air minuman dan kegunaan domestik
(e) Gua
Petempatan dibina kerana gua menjadi tempat perlindungan manusia daripada ancaman
binatang liar dan sebagai tempat berteduh daripada panas dan hujan lebat.
(f) Bukit
Petempatan dibina kerana penduduk menjalankan kegiatan pertanian seperti menanam ubi kayu, pisang dan keladi.
(g) Tanah pamah
Petempatan dibina kerana penduduk menjalankan kegiatan pertanian dan perdagangan.

5. Kawasan-kawasan petempatan awal di Malaysia ialah:
(a) Gua Niah di Sarawak
(b) Kota Tampan di Lenggong, Perak
(c) Kesultanan Melayu Melaka di muara Sungai Melaka, Melaka.
(d) Lembah Bujang di sekitar Sungai Merbok, Kedah.
(e) Kerajaan Johor-Riau di Sungai Johor, Johor.
(f) Sekitar Teluk Darvel di Sabah.
(g) Pekan Lama di Pahang
(h) Kuala Berang di Terengganu
(i) Gua Musang dan Gua Cha di Kelantan

6. Faktor-faktor yang mempengaruhi pemilihan lokasi petempatan awal di Malaysia ialah:
(a) Faktor fizikal
(b) Keperluan asas

7. Petempatan awal yang terletak di lembah sungai, tanah pamah dan gua merupakan tempat yang paling strategik, selamat dan sesuai untuk menjalankan kegiatan pertanian seperti menanam padi.

8. Petempatan awal yang terletak di muara sungai merupakan lokasi yang baik kerana sungai
berperanan sebagai keperluan asas kepada penduduk iaitu:
(a) Sebagai sumber air
(b) Sebagai jalan pengangkutan
(c) Sebagai pengairan kepada tanaman
(d) Sebagai sumber makanan protein

9. Penduduk yang tinggal di pinggir sungai boleh mendapatkan sumber air sepanjang masa untuk dijadikan air minuman, kegunaan harian dan menyiram tanaman.

10. Penduduk menjalankan kegiatan menangkap ikan di pinggir sungai dan pinggir laut.

11. Sumber makanan protein seperti ikan dan udang senang diperolehi oleh penduduk yang tinggal di pinggir sungai.

12. Sungai merupakan jalan pengangkutan yang utama bagi penduduk yang tinggal di pinggir sungai untuk berhubung antara satu sama lain.


Petempatan awal di Malaysia



Jenis Petempatan

1. Terdapat dua jenis petempatan di Malaysia iaitu petempatan luar bandar dan petempatan bandar.

2. Faktor-faktor yang membezakan kedua-dua jenis petempatan ini adalah
(a) saiz penduduk
(b) kepadatan penduduk
(c) fungsinya yang meliputi jenis kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial yang dijalankan.

3. Majoriti masyarakat yang tinggal di petempatan luar bandar menjalankan aktiviti ekonomi
seperti pertanian, penternakan, perlombongan, pembalakan dan perikanan. Manakala penduduk yang tinggal di petempatan bandar pula menjalankan aktiviti ekonomi seperti perindustrian, perniagaan, perdagangan dan perkhidmatan.

4. Petempatan luar bandar mempunyai penduduk yang kurang dan kepadatan penduduknya yang rendah. Jumlah penduduknya adalah kurang daripada 10 000 orang.

5. Petempatan bandar pula mempunyai jumlah penduduk yang melebihi 10 000 orang serta mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.



1. Petempatan luar bandar di Malaysia terdiri daripada petempatan kampung dan petempatan pekan.

2. Petempatan kampung mempunyai jumlah penduduk di antara 1 hingga 1999 orang. Manakala petempatan pekan mempunyai jumlah penduduk di antara 2000 hingga 9999 orang.

3. Kegiatan ekonomi penduduk di luar bandar berasaskan kepada aktiviti pertanian dan perikanan. Contohnya Dataran Kedah-Perlis yang dijadikan kawasan penanaman padi dan Pulau Ketam dijadikan kawasan petempatan nelayan.

Faktor yang Mempengaruhi Tapak Petempatan Luar Bandar

1. Faktor-faktor yang mempengaruhi tapak petempatan luar bandar di Malaysia terdiri daripada bentuk muka bumi, tanih sumber air, ketersampaian, kegiatan ekonomi dan dasar kerajaan (governan).



1. Petempatan luar bandar biasanya terletak di kawasan tanah pamah yang rata dan landai kerana kegiatan pertanian sesuai dijalankan di kawasan ini dan mudah untuk dihubungi.

2. Kawasan tanah pamah di Malaysia kebanyakkannya terletak di kawasan lembah sungai dan dataran pantai seperti:
(a) Lembah Sungai Rajang di Sarawak
(b) lembah Sungai Kinabatangan di Sabah
(c) Dataran Pantai Barat di Semananjung Malaysia
(d) Dataran Pantai Timur di Semananjung Malaysia

3. Petempatan luar bandar juga tertumpu kaki bukit yang beralun. Contohnya di sekitar kawasan kaki bukit di Pantai Barat Semanjung Malaysia.



1. Kebiasaannya kegiatan pertanian diusahakan di kawasan petempatan luar bandar. Hal ini demikian kerana kawasan luar bandar mempunyai kesuburan tanih yang tinggi terutama di kawasan berhampiran sungai.

2. Jadual di bawah menunjukkan jenis-jenis tanih yang sesuai untuk kegiatan pertanian dan kawasan petempatannya di Malaysia.


Jenis tanih yang sesuai untuk beberapa jenis tanaman di Malaysia.



1. Kebanyakan petempatan luar bandar dibina di kawasan tebing sungai. Antaranya ialah seperti Sungai Pahang, Sungai Kelantan, Sungai Perak, Sungai Kinabatangan dan Sungai Rajang.

2. Sungai bukan sahaja membekalkan sumber air untuk kegunaan harian malahan memudahkan pergerakan penduduk. Sumber protein seperti ikan, udang dan hidupan air yang lain juga boleh didapati daripada sungai.



1. Ketersampaian bermaksud mudah untuk sampai ke sesuatu tempat.

2. Petempatan luar bandar biasanya terletak berhampiran dengan jalan raya, sepanjang pinggir pantai dan sungai.

3. Letakkan ini memudahkan penduduk untuk sampai ke sesuatu tempat tersebut dengan lebih cepat.

4. Kebanyakkan petempatan luar bandar di pantai timur Semenanjung Malaysia dibina selari dengan pantai. Contohnya di Kampung Merang dan Kg Penarik, di Terengganu.

5. Jalan raya juga menjadi lokasi petempatan luar bandar seperti Kampung Sungai Lada dan Kampung Lubak Temiang yang terletak di sepanjang jalan raya Pulau Labuan.

6. Manakala petempatan luar bandar di pedalaman Pahang, Sabah dan Sarawak pula menjadikan sungai sebagai cara pengangkutan yang penting.



1. Aktiviti pertanian terutama penanaman padi di kawasan dataran turut mempengaruhi tapak petempatan luar bandar di Malaysia. Pembinaan petempatan di kawasan ini begitu menggalakkan seperti yang terdapat di Dataran Kedah-Perlis, Delta Kelantan, Tanjung Karang dan Paya Besar di Selangor.

2. Selain itu aktiviti perikanan yang dijalankan di pinggir pantai telah menggalakkan pembinaan petempatan nelayan di sepanjang pinggir pantai. Antaranya seperti:
(a) Bachok dan Tumpat di Kelantan
(b) Besut dan Kuala Kemaman di Terengganu
(c) Kuala Sedili dan Kukup di Johor
(d) Pulau Ketam di Selangor
(e) Kuala Kurau di Perak
(f ) Batu Maung di Pulau Pinang
(g) Kuala Perlis di Perlis
(h) Bintulu dan Mukah di Sarawak
(i ) Kunak dan Kudat di Sabah.

3. Kegiatan perlombongan bijih timah pada awal abad ke-19 telah mempengaruhi kewujudan petempatan luar bandar di kawasan tersebut. Kuala Lumpur, Ipoh dan Seremban misalnya, merupakan lokasi perlombongan bijih timah yang utama pada masa tersebut.

4. Selain bijih timah, perlombongan sumber lain juga turut mempengaruhi kewujudan petempatan luar bandar seperti
(a) bijih besi di Kuala Rompin dan Sungai Lembing, Pahang
(b) emas di Bau, Sarawak dan Raub, Pahang
(c) petroleum di Miri dan Bintulu, Sarawak serta Kertih dan Paka, Terengganu.

5. Pembinaan petempatan sementara untuk pekerja balak diwujudkan di sekitar kawasan pembalakan seperti di pedalaman Sandakan, pedalaman Pahang, pedalaman Johor dan pedalaman Bintulu.



1. Rancangan Pembangunan Tanah mewujudkan petempatan terancang di luar bandar. Rancangan ini bertujuan membasmi kemiskinan di kalangan penduduk dan mengimbangi pembangunan ekonomi di antara kawasan luar bandar dengan bandar.

2. Perbadanan yang melaksanakan Rancangan Pembangunan Tanah ini adalah seperti
(a) FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan)
(b) KEJORA (Lembaga Kemajuan Johor Tenggara)
(c) KETENGAH (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah)
(d) KESEDAR (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan)
(e) SLDA (Lembaga Kemajuan Tanah Sabah)



Pola Petempatan

1. Pola petempatan ialah corak susun atur bangunan atau rumah di sesuatu tempat.

2. Pola petempatan dapat dilihat dari jauh melalui pandangan udara.

3. Petempatan di Malaysia dapat dibahagikan kepada empat pola, iaitu:
(a) Pola petempatan berselerak
(b) Pola petempatan berjajar
(c) Pola petempatan berpusat
(d) Pola petempatan berkelompok



1. Rumah-rumah dibina jauh di antara satu dengan lain tanpa susunan yang tertentu.

2. Pola ini biasanya terdapat di kawasan pedalaman, kawasan luar bandar, kebun kecil getah, kelapa padi dan pertanian campur.

3. Petani-petani mendirikan rumah masing-masing di kebun sendiri.

4. Susunan rumah mereka adalah berselerak.

5. Rumah-rumah mereka dapat dihubungi melalui jalan atau lorong jalan kaki.





1. Pola ini biasanya terdapat di luar bandar terutamanya di kampung nelayan dan kawasan sawah padi.

2. Rumah-rumah didirikan mengikut deretan di sepanjang jalan raya, tebing sungai, tali air, jalan kereta api, permatang pasir, di tepi pantai dan di sempadan antara dua jenis tanaman seperti padi dan getah.

3. Susunan rumah adalah selari antara satu sama lain.

4. Pola petempatan berjajar juga disebut sebagai petempatan linear.


Pola petempatan berjajar



1. Rumah-rumah dan bangunan-bangunan dibina rapat-rapat dan kelihatan padat.

2. Petempatan berpusat mempunyai tanda panduan seperti simpang jalan mempunyai sekolah, pejabat pos dan tempat beribadat.

3. Pola ini terdapat di kawasan ladang getah, ladang kelapa sawit dan tanah rancangan FELDA.


Pola petempatan berpusat



1. Pola petempatan ini hampir sama dengan pola petempatan berpusat.

2. Rumah-rumah dibina rapat tetapi tidak serapat berbanding petempatan berpusat dan tidak mempunyai satu tanda panduan.

3. Petempatan ini terdapat di simpang jalan raya, ladang getah dan muara sungai.



Fungsi Petempatan Luar Bandar

1. Fungsi di sesebuah petempatan luar bandar adalah berbeza dengan petempatan luar bandar yang lain.

2. Fungsi utama petempatan luar bandar adalah sebagai tempat kediaman penduduk.

3. Fungsi kawasan pertanian seperti di lembah Sungai Kelantan dan lembah Sungai Muda ialah sebagai pengeluar hasil padi.

4. Fungsi kawasan kaki bukit yang bercerun landai seperti pantai barat Semenanjung Malaysia adalah sebagai pusat pengumpulan hasil getah dan minyak sawit.

5. Fungsi petempatan di tanah rancangan FELDA ialah sebagai pengeluar minyak sawit dan pusat pemprosesan kelapa sawit.

6. Di Malaysia, kebanyakan kampung berfungsi sebagai pusat pentadbiran secara kecil-kecilan.

7. Fungsi kawasan perkampungan nelayan adalah sebagai pengeluar hasil sungai, tasik atau laut.

8. Petempatan luar bandar yang berada di sepanjang pantai berfungsi sebagai pangkalan perahu tambang.

9. Walau bagaimana pun, fungsi petempatan luar bandar akan berubah apabila pertambahan penduduk atau terjumpa sumber alam yang baru.


bab 11 hubungan kependudukan dengan sumber


3



GEOGRAFI - TINGKATAN 2

HUBUNGAN KEPENDUDUKAN DENGAN SUMBER

PETA MINDA



Pengenalan

1. Jumlah penduduk di negara-negara di dunia adalah berbeza-beza.

2. Jumlah penduduk disesebuah negara di dunia boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu:
(a) Penduduk berlebihan
(b) Penduduk optimum
(c) Kurang penduduk

3. Negara penduduk berlebihan bermaksud sesebuah negara mempunyai saiz penduduk yang terlalu besar sehingga sumber alamnya tidak dapat menampung keperluan penduduk dengan secukupnya.

4. Negara penduduk optimum bermaksud sesebuah negara mempunyai saiz penduduk yang dapat menggunakan sumber alamnya dengan sepenuhnya dan menikmati taraf hidup yang paling tinggi.

5. Negara kurang penduduk bermaksud sesebuah negara mempunyai saiz penduduk yang kecil berbanding dengan sumber alamnya yang banyak tetapi tidak dapat digunakan dengan sepenuhnya oleh penduduknya.



1. Sesebuah negara dianggap mempunyai penduduk berlebihan apabila sumber alamnya tidak cukup untuk menampung keperluan penduduk yang ramai.

2. Ciri-ciri penduduk berlebihan:
(a) Saiz penduduknya amat besar, iaitu melebihi 100 juta orang.
(b) Kepadatan penduduk melebihi 200 orang sekilometer persegi.
(c) Sumber alam yang sedia ada tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan bilangan penduduk yang ramai.
(d) Taraf hidup yang rendah
(e) Taraf teknologi yang rendah
(f) Kadar pengangguran yang tinggi
(g) Kekurangan kemudahan awam dan perkhidmatan sosial.

3. Negara-negara yang mempunyai penduduk berlebihan ialah seperti India, Bangladesh, Ethiopia, Pakistan dan China.

4. Faktor-faktor yang mempengaruhi penduduk berlebihan:
(a) Taraf kesihatan yang rendah
(b) Hasil produktiviti rendah
(c) Taraf pendidikan yang rendah
(d) Anak yang ramai
(e) Migrasi penduduk tinggi
(f) Taraf teknologi rendah

5. Taraf kesihatan yang rendah menyebabkan kadar kelahiran meningkat dan kadar kematian juga meningkat. Ini disebabkan oleh kadar pertambahan penduduk yang ramai menyebabkan kemudahan kesihatan tidak mencukupi.

6. Kegiatan ekonomi utama penduduk ialah pertanian dan menyebabkan hasil produktiviti negara rendah kerana bergantung kepada tenaga buruh manusia.

7. Penduduk mempunyai taraf pendidikan yang rendah dan kadar buta huruf yang tinggi.

8. Penduduk tidak mengamalkan perancangan keluarga kerana mereka suka mempunyai anak yang ramai supaya dapat membantu mereka dalam kerja pertanian.

9. Migrasi penduduk luar bandar ke kawasan bandar selalu berlaku kerana untuk mendapatkan lebih banyak peluang pekerjaan yang menawarkan kadar upah yang tinggi.

10. Taraf teknologi rendah menyebabkan negara sukar membangun dan hanya kekal dalam bidang pertanian sahaja.





1. Sesebuah negara dianggap kurang penduduk apabila jumlah penduduknya kurang dan tidak dapat membangunkan sumber alamnya dengan maksimum.

2. Ciri-ciri kurang penduduk:
(a) Mempunyai keluasan tanah yang besar tetapi bilangan penduduk sedikit.
(b) Kepadatan penduduk rendah iaitu kurang daripada 50 orang sekilometer persegi.
(c) Terdapat sumber alam yang banyak tetapi tidak diusahakan sepenuhnya.
(d) Berupaya menampung lebih ramai penduduk tanpa menjejaskan taraf hidup.

3. Negara-negara yang mempunyai kurang penduduk ialah seperti Kanada, Australia dan Brazil.

4. Faktor-faktor yang mempengaruhi kurang penduduk:
(a) Taraf pendidikan yang tinggi
(b) Golongan muda berkahwin lambat
(c) Mengamalkan perancangan keluarga
(d) Meningkatkan taraf hidup
(e) Cara hidup pergaulan bebas

5. Penduduk mempunyai taraf pendidikan yang tinggi dan kebanyakannya berkelulusan kolej atau universiti.

6. Golongan muda berkahwin lambat menyebabkan kadar kelahiran rendah dan kadar pertumbuhan penduduk juga rendah.

7. Penduduk mementingkan kerjaya dan mengamalkan perancangan keluarga untuk mengehadkan bilangan anak.

8. Penduduk lebih mementingkan kehidupan dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

9. Cara hidup pergaulan bebas mempengaruhi golongan muda berkahwin lambat.



Kesan-kesan Yang Penduduk Berlebihan dan Kurang Penduduk



1. Negara-negara yang mempunyai penduduk berlebihan akan memberi kesan terhadap keperluan kependudukan di negaranya. Ini disebabkan sumber semula jadi negara-negara ini sangat terhad dan tidak dapat menampung keperluan penduduknya.

2. Negara-negara yang mempunyai penduduk berlebihan seperti Ethiopia, India dan Bangladesh mempunyai kadar pertumbuhan semula jadi yang tinggi. Jadual di bawah menunjukkan kadar pertumbuhan semula jadi negara-negara penduduk berlebihan pada tahun 1996.


Kadar pertumbuhan semula jadi negara-negara penduduk berlebihan pada tahun 1996.

3. Negara-negara penduduk berlebihan akan mengalami masalah kekurangan makanan. Contohnya keadaan kemarau berpanjangan yang melanda negara Ethiopia telah menyebabkan kegiatan pertanian tidak dapat diusahakan. Bekalan makanan yang sedia ada pula tidak mampu menampung keperluan penduduk. Bagi mengatasi masalah ini empangan telah dibina untuk meningkatkan bekalan air.

4. Negara Bangladesh pula masih menggunakan kaedah tradisional yang tidak produktif kerana kekurangan teknologi moden. Keadaan ini telah meningkatkan lagi masalah kekurangan makanan.

5. Kadar kemiskinan di luar bandar telah menyebabkan penduduknya berhijrah ke bandar-bandar besar demi mendapat taraf hidup yang lebih baik.

6. Kebanyakan daripada mereka yang berhijrah ke bandar terdiri daripada mereka yang kurang berpendidikan dan buta huruf. Kekurangan ini menyebabkan mereka sukar untuk mendapat pekerjaan yang baik dengan upah gaji tinggi.

7. Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa tinggal di kawasan setinggan kerana tidak mampu untuk membayar sewa rumah yang tinggi. Hasilnya berlakulah kesesakan penduduk dan masalah tempat tinggal seperti di Dhaka, Bangladesh dan Mumbai, di India.

8. Di negara-negara yang berlebihan penduduk seperti Bangladesh, India dan Ethiopia, pertanian merupakan pekerjaan utama penduduknya. Walau bagaimanapun, kegiatan pertanian tidak banyak menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduknya. Keadaan ini mendorong mereka untuk berhijrah ke luar bandar dan ke luar negara untuk meningkatkan taraf hidup.

9. Walaupun bilangan kanak-kanak di bawah umur banyak di negara yang berlebihan penduduk, kerajaannya kurang mampu menyediakan sekolah dan kemudahan pendidikan yang lebih baik. Keadaan ini menyebabkan kadar kenal huruf di negara-negara tersebut sangat rendah. Sebagai contohnya, hanya 35.5% penduduk Ethiopia, 38.1% penduduk Bangladesh dan 52% penduduk India yang kenal huruf. Kemiskinan menyebabkan ramai kanak-kanak terpaksa bekerja sebagai buruh kasar bagi membantu keluarga mereka.

10. Taraf kesihatan penduduk di negara-negara ini juga berada pada tahap yang rendah. Keadaan ini berlaku kerana kurangnya kemudahan kesihatan seperti klinik, pusat rawatan dan hospital, kadar pertambahan penduduk yang ramai telah menambah beban yang terpaksa ditanggung pada kemudahan kesihatan dan perubatan yang sedia ada.

11. Bilangan kakitangan yang tidak mencukupi juga menyebabkan peluang untuk penduduk menerima rawatan amat rendah. Contohnya, hanya seorang doktor diperuntukkan bagi merawat 30 195 orang penduduk negara Ethiopia dan 4 759 orang penduduk bagi seorang doktor di negara Bangladesh.

12. Kebanyakan penduduk di negara-negara penduduk berlebihan mempunyai jangka hayat yang rendah kerana mengamalkan pemakanan yang kurang berkhasiat, penyakit dan masalah kebuluran.

13. Penduduk di negara Ethiopia misalnya secara purata mempunyai jangka hayat 48 tahun untuk lelaki dan 52 tahun bagi perempuan, Manakala, Bangladesh pula pada jangka hayat 58 tahun bagi lelaki dan perempuan pada tahun 1997.

14. Kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, perhubungan dan pengangkutan di negara-negara ini amat kurang kerana ketidakmampuan kerajaan untuk menyediakannya.

15. Hanya 32.3% penduduk India menikmati bekalan air dan 42.4% daripada 75% penduduk di bandar dan 30.5% di luar bandar mampu menikmati kemudahan bekalan elektrik. Manakala penduduk di negara Bangladesh terpaksa menggunakan air dari sungai, kolam dan tasik untuk tujuan domestik.

16. Purata pendapatan bagi setiap keluarga semakin menurun apabila meningkatnya bilangan ahli keluarga dalam sesebuah rumah.

17. Untuk mengurangkan beban kerja dan kos dalam menjalankan kegiatan pertanian kebanyakan petani menggunakan tenaga buruh dari kalangan ahli keluarga khususnya anak-anak.





1. Taraf hidup penduduk di negara-negara kurang penduduk adalah lebih baik dan tinggi dibandingkan dengan negara penduduk berlebihan. Nilai eksport negara-negara kurang penduduk adalah tinggi dan mencukupi untuk membiayai perbelanjaan negara.

2. Kadar pertumbuhan semula jadi yang rendah disebabkan kadar kelahiran dan kadar kematian rendah seperti yang berlaku pada negara Australia dan Kanada.

3. Kadar kelahiran di Kanada hanya 12.5 bagi setiap 1 000 penduduk dan di Australia ialah 12.71 bagi setiap 1 000 penduduk. Kadar kematian penduduk Kanada ialah 7.2 bagi setiap 1 000 penduduk dan di Australia ialah 7.25 bagi setiap 1 000 penduduk.

4. Keadaan ini menunjukkan bahawa pertumbuhan semula jadi di kedua-dua negara adalah rendah di mana kira-kira 5.46 bagi setiap 1 000 penduduk negara Australia dan 5.3 bagi setiap 1 000 penduduk negara Kanada.

5. Purata pendapatan tahunan yang tinggi membolehkan penduduk di negara seperti Australia dan Kanada tinggal di rumah-rumah yang lengkap dengan kemudahan moden. Contohnya, setiap keluarga di Kanada mempunyai purata pendapatan sebanyak AS$39 655 manakala di Australia ialah sebanyak AS$27 585 bagi setiap keluarga.

6. Kebanyakan penduduk di negara Kanada bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti yang ditunjukkan dalam rajah di bawah.


Guna tenaga di Kanada tahun 2000

7. Kadar pengangguran di negara-negara ini rendah kerana adanya peluang pekerjaan yang luas kepada penduduknya. Namun begitu, berlaku masalah kekurangan tenaga kerja bagi memenuhi peluang kerja yang disediakan kerana kekurangan penduduk.

8. Bagi mengatasi masalah ini kerajaan Australia dan Kanada terpaksa membuka ruang untuk kemasukan pekerja asing dari negara-negara seperti Hong Kong, Filipina, India dan China.

9. Negara-negara kurang penduduk akan mengalami masalah pertambahan penduduk yang perlahan pada masa depan. Jumlah penduduk muda yang kurang daripada 15 tahun adalah rendah di negara terbabit iaitu 19.5% bagi Kanada dan 21.6% bagi Australia.

10. Kerajaan negara-negara ini perlu meningkatkan lagi perbelanjaan bagi menyediakan kemudahan kebajikan seperti rumah orang tua, skim pencen dan kemudahan kesihatan kepada penduduk tua di negara-negara tersebut yang semakin bertambah.

11. Kemudahan pendidikan yang baik sehingga ke peringkat universiti mampu dinikmati kira-kira 92% penduduk negara-negara yang kurang penduduk. Contohnya, hampir 100% penduduk Australia, 99% penduduk Kanada dan 83% penduduk Brazil kenal huruf.

12. Kemampuan untuk mendapatkan khidmat perubatan yang lebih sempurna membolehkan penduduk di negara kurang penduduk memiliki taraf kesihatan yang tinggi. Kadar kematian bayi ketika lahir juga rendah iaitu hanya pada tahap 5 bayi untuk 1 000 orang. Nisbah doktor bagi negara Australia contohnya adalah seorang untuk 400 orang penduduknya.

13. Amalan pemakanan yang seimbang dan kesedaran tentang kepentingan kesihatan menyebabkan penduduk mempunyai jangka hayat yang panjang. Contohnya penduduk Kanada mempunyai jangka hayat sehingga 80 tahun dan penduduk. Australia mempunyai jangka hayat 77.15 bagi lelaki dan 83 tahun bagi perempuan.

14. Kerajaan negara-negara kurang penduduk mampu menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, perhubungan dan pengangkutan yang lebih baik dan lengkap. Contohnya, 100% penduduk Kanada, 92% penduduk Brazil dan 99.5% penduduk Australia dapat menikmati kemudahan bekalan elektrik yang disediakan kerajaan.

15. Kawasan hutan luas yang dimiliki Brazil mewujudkan kawasan tadahan untuk sungai dan tasik. Keadaan ini akan membolehkan penjanaan kuasa hidroelektrik yang lebih banyak untuk menampung keperluan penduduknya.





1. Selain daripada keadaan penduduk berlebihan dan kurang penduduk dalam menghubungkaitkan kependudukan dengan sumber, terdapat juga negara-negara yang mempunyai jumlah penduduk optimum. Negara-negara tersebut ialah seperti Jepun, Sweden dan Belanda.

2. Negara penduduk optimum ini mempunyai jumlah penduduk yang seimbang dengan sumber yang dimiliki negara. Oleh itu, penduduk di negara ini dapat menikmati taraf hidup yang tinggi.

3. Keadaan penduduk berlebihan dan kurang penduduk tidak akan kekal selamanya malah boleh berubah mengikut masa.

4. Sesebuah negara yang mengalami kurang penduduk boleh berubah menjadi penduduk berlebihan apabila berlakunya pertambahan penduduk dan sumber semula jadinya tidak mampu lagi menampung keperluan penduduk.

5. Bagi negara penduduk berlebihan pula akan mengalami perubahan apabila meningkatnya penggunaan teknologi dan pengetahuan baru akan meningkatkan sumber semula jadi yang sedia ada. Keperluan penduduk dapat dipenuhi sepenuhnya dan negara-negara ini tidak akan mengalami masalah penduduk berlebihan.


bab 10 kesan perubahan penduduk terhadap alam sekitar


GEOGRAFI - TINGKATAN 2

KESAN PERUBAHAN PENDUDUK TERHADAP ALAM SEKITAR

PETA MINDA



Pengenalan

1. Secara umumnya, kebanyakan negara di dunia ini sedang mengalami pertambahan penduduk secara semula jadi. Apabila bilangan penduduk semakin meningkat, maka keperluan terhadap makanan juga bertambah.

2. Aktiviti penduduk dalam pelbagai bidang ekonomi dan sosial memberi kesan terhadap alam sekitar.

3. Perubahan penduduk telah mengakibatkan kesan positif dan eksan negatif terhadap penerokaan sumber terutamanya sumber tanih, sumber hutan dan sumber air.

Kesan Perubahan Penduduk Terhadap Penerokaan Sumber



1.Umumnya, keperluan terhadap makanan akan bertambah apabila berlakunya pertambahan
penduduk disesebuah negara. Oleh itu, penerokaan sumber tanih untuk dijadikan kawasan
pertanian perlu dipertingkatkan.

2. Kawasan dataran dan delta sungai yang mempunyai tanih aluvium yang subur sesuai
dijadikan kawasan penanaman padi. Contohnya, Dataran Kedah-Perlis, Delta Kelantan, dan
Dataran Terengganu.

3. Untuk menampung keperluan makanan bagi pertambahan penduduk, kemudahan
pengairan yang disediakan membolehkan penanaman padi diusahakan dua kali setahun.

4. Penggunaan baja kimia, racun serangga, jentera moden dan benih yang bermutu tinggi
dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi.

5. Di Malaysia, tanaman komersial (jualan) seperti kelapa sawit, getah dan koko diusahakan di
kawasan tanih laterit yang subur. Permintaan tinggi terhadap tanaman komersial seperti
kelapa sawit, getah dan koko menyebabkan kawasan tanih laterit di pedalaman giat
dibangunkan untuk dijadikan kawasan penanaman tanaman tersebut.

6. Sumber tanih juga dieksploitasi untuk kegiatan penanaman sayur-sayuran, buha-buahan
dan bunga-bungaan seperti di Tanah Tinggi Cameron.

7. Penerokaan tanih untuk mendapatkan pasir dan lempung yang digunakan dalam pembuatan
kaca dan barang-barang tembikar serta pasu turut dijalankan.

8. Aktiviti perlombongan dijalankan untuk memperoleh mineral seperti bijih timah dan bijih
besi yang turut mempelbagaikan industri pembuatan negara.

9. Penerokaan sumber tanih besar-besaran untuk memenuhi permintaan penduduk yang bertambah akan membawa kesan negatif terhadap sumber tanih.

10. Penggunaan tanih yang berterusan untuk menanam tanaman sejenis akan menyebabkan tanih tersebut menjadi tidak subur.

11. Penggunaan teknologi moden seperti baja kimia, racun serangga dan benih bermutu tinggi untuk menghasilkan tanaman yang banyak juga akan mencemarkan sumber alam.

12. Para petani yang membakar jerami padi untuk dijadikan baja organik akan mencemarkan udara dan meningkatkan suhu dunia.

13. Tanah yang beracun mengandungi bahan beracun dihanyutkan ke sungai atau tali air yang seterusnya mengancam kehidupan akuatik dan tumbuhan di situ.





1. Penerokaan hutan bertambah kerana penambahan penduduk di sesuatu kawasan. ini
kerana hutan menghasilkan kayu yang sesuai untuk penggunaan penduduk seperti
mendirikan rumah, menjadikan perabot dan sebagainya.

2. Hutan amat berguna kepada penduduk kerana ia boleh mendatangkan pendapatan yang
lumayan melalui kegiatan pembalakan.

3. Hutan-hutan di Malaysia dapat menghasilkan kayu-kayan yang keras dan bermutu tinggi
seperti meranti, cengal, merbau dan lain-lain lagi.

4. Selain itu, kawasan hutan juga amat penting kerana ia boleh dijadikan kawasan petempatan, bandar dan juga untuk membina jaringan pengangkutan.

5. Penerokaan hutan secara besar-besaran akan mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan penduduk.

6. Penebangan hutan yang luas akan mendedahkan tanah kepada air hujan seterusnya mengalami hakisan air larian permukaan yang giat.

7. Tanih yang terhakis akan mengalir ke sungai dan mendap di dasar sungai. Sungai menjadi semakin cetek dan mudah berlaku banjir.

8. Penebangan hutan juga akan memusnahkan flora dan fauna yang hidup di dalam hutan itu.

9. Kegiatan pertanian pindah yang menerokai hutan untuk pertanian akan membakar pokok-pokok hutan. Kegiatan ini boleh mencemarkan udara dan menyebabkan kepupusan flora dan fauna hutan yang istimewa.

10. Pembukaan hutan untuk membina empangan hidroelektrik bagi menampung permintaan penduduk yang bertambah telah menyebabkan hutan yang luas musnah dan ditenggelami air.

11. Selain itu, sumber bekalan air negara juga akan terganggu kerana kawasan tadahan
semakin terjejas dan berkurangan.





1. Semua benda hidup termasuk manusia memerlukan air untuk terus hidup. Pertambahan penduduk mengakibatkan lebih banyak sumber air diperlukan untuk kegunaan domestik, perindustrian dan pertanian.

2. Di Malaysia, pembinaan empangan merentasi sungai bertujuan untuk mendapatkan air bagi mengairi kawasan tanaman, menjana kuasa hidroelektrik, kegunaan domestik, dan mengawal banjir.

3. Empangan Durian Tunggal dan Empangan Klang Gate dibina bagi membekalkan air untuk kegunaan domestik. Bekalan air juga disalurkan ke kilang-kilang.

4. Manakala Empangan Muda pula dibina khas untuk mengairi kawasan penanaman padi di kawasan sekitar Sungai Muda di Kedah bagi membantu meningkatkan pengeluaran padi.

5. Untuk Empangan Kenyir, Empangan Chenderoh, Empangan Batang Ai dan Empangan Tenom Perigi pula dibina khas bagi menjana kuasa hidroelektrik kepada penduduk di sekitarnya.

6. Seterusnya Empangan Temenggor dibina bagi menjana kuasa hidroelektrik di samping mengawal banjir di kawasan sekitarnya.

7. Selain itu, Tasik Kenyir yang terletak di Empangan Kenyir telah dijadikan pusat pelancongan terkenal di negara kita, Malaysia.

8. Pembinaan empangan untuk memenuhi permintaan penduduk juga akan menyebabkan kesan negatif terhadap sumber air.

9. Pembinaan empangan telah memusnahkan hutan dan tempat tinggal orang asli di sekitarnya.

10. Pemusnahan hutan juga telah mengakibatkan negara kita kehilangan sumber kayu balak yang bernilai dan memusnahkan kawasan tadahan air.

11. Pembuangan sisa-sisa domestik dari kilang-kilang ke dalam sungai pula telah mencemarkan sungai. Misalnya, pencemaran air yang terlalu terhadap Sungai Klang Selangor dan Sungai Juru di Pulau Pinang.



Langkah-langkah Penerokaan Sumber Secara Terancang

1. Penerokaan sumber alam semula jadi terpaksa dilakukan untuk memenuhi pertambahan penduduk yang semakin ramai di dunia, tetapi kegiatan penerokaan sumber perlu
dilakukan dengan terancang.

2. Walau bagaimana pun, terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kesan-kesan negatif penerokaan sumber terhadap alam sekitar.



1. Penggunaan tanih untuk pertanian akan menyebabkan tanih hilang kesuburan. Langkah yang paling berkesan ialah menambahkan baja kepada tanih.

2. Kawasan pertanian dapat diperluaskan lagi dengan menebus guna kawasan terbiar dan kawasan paya.

3. Kawasan terbiar seperti bekas lombong boleh digunakan untuk menanam sayur-sayuran dan buah-buahan, menjadi kawasan petempatan dan tempat pelancongan.

4. Kawasan paya pula dapat ditebus guna untuk menanam padi.

5. Untuk mengatasi masalah kekurangan tanah pinggir laut di Malaysia telah ditambak. Contohnya, Bandar Hilir Melaka dan Seberang Perai ditambak untuk mendirikan hotel, kedai dan Pangkalan Kontena Butterworth Utara.

6. Selain itu, kawasan-kawasan cerun bukit juga dapat ditereskan untuk menanam sayur-sayuran dan teh. Ini dapat menjimat tempat untuk bercucuk tanam.

7. Untuk mengatasi permintaan penduduk yang semakin ramai, tanaman secara hidroponik dapat dijalankan di rumah atau di kebun.

8. Hasil pertanian dapat ditingkatkan dan dipercepatkan melalui penggunaan teknik pertanian moden seperti menggunakan benih bermutu tinggi, baja kimia, dan racun serangga.





1. Mengusahakan ladang hutan secara besar-besaran untuk membekalkan bekalan kayu kepada sektor perindustrian. Misalnya di Bukit Tinggi, Pahang.

2. Di Malaysia, penubuhan ladang hutan secara komersial turut dilaksanakan. Contohnya penanaman pokok jati di Mata Air, Perlis.

3. Menanam spesies pokok yang cepat tumbuh dan bernilai tinggi seperti akasia, batai, yamane, dan sesenduk di kawasan ladang hutan.

4. Melaksanakan rawatan silvikultur supaya pokok-pokok cepat matang dan mengawal mutu pengeluaran kayu balak.

5. Pokok-pokok yang berkualiti tinggi diberi peluang untuk tumbuh dan yang lain akan dihapuskan.

6. Menjalankan penebangan terpiliih , iaitu hanya pokok yang cukup matang dan saiz mencukupi sahaja ditebang. Pokok-pokok yang ditebang akan digantikan dengan pokok baru melalui penanaman semula untuk menjamin keberterusan bekalan pada masa depan.

7. Mewartakan hutan simpan kekal dan tanam negara untuk mengekalkan kawasan tadahan dan kawasan hutan.

8. Pusat Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) diwujudkan untuk melindungi flora dan fauna. Misalnya, Pusat Perlindungan Orang Utan di Semenggoh
(Sarawak) dan Sepilok (Sabah).

9. Penguatkuasaan Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan 1993) dan Enakmen Industri Berasaskan Kayu (1985) diwujudkan untuk mengawal aktiviti pembalakan haram.

10. Menghadkan pengeluaran lesen pembalakan, masa pembalakan dan pemberian konsesi hutan.

11. Rancangan pertanian kekal diperkenalkan kepada orang Asli untuk mengurangkan aktiviti pertanian pindah.





1. Melindungi kawasan tadahan hujan untuk menjamin bekalan air yang mencukupi. Melalui ini kerajaan Malaysia telah mengenal pasti beberapa kawasan tadahan tertentu untuk menjamin keberterusan bekalan air.

2. Kerajaan juga mengambil langkah mengawal kualiti air sungai dengan memeriksa, mengkaji membersihkan dan mengawasi sungai supaya tidak dicemar.

3. Mengadakan kempen 'Cintai Sungai KIta' setiap tahun untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan sungai dan menggalakkan mereka menjaga sungai dengan tidak membuang sampah sarap ke dalamnya.

4. Menguatkuasakan undang-undang seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 1996) bagi mengawal pencemaran sungai.

5. Sistem rawatan air kumbahan yang sempurna wajib disalurkan ke sungai ditapis terlebih dahulu.

6. Tindakan pemeriksaan saluran paip air bawah tanah perlu sentiasa dijalankan untuk mencegah berlakunya kebocoran paip. Kebocoran paip akan mengotor dan membazirkan air.


bab 9 migrasi penduduk

GEOGRAFI - TINGKATAN 2

MIGRASI PENDUDUK

PETA MINDA



Migrasi Penduduk

1. Migrasi penduduk ialah pergerakan penduduk dari satu tempat tinggal ke satu tempat tinggal yang lain.

2. Migrasi penduduk biasanya akan melibatkan pergerakan jarak dan perubahan tempat tinggal.

3. Migrasi boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu migrasi dalaman dan migrasi antarabangsa.

4. Migrasi antarabangsa ialah pergerakan keluar dan masuk penduduk yang berlaku antara negara.

5. Migrasi dalaman ialah pergerakan penduduk yang berlaku dalam negara.

6. Di Malaysia, terdapat beberapa jenis migrasi dalaman iaitu:
(a) Dari luar bandar ke bandar.
(b) Dari luar bandar ke luar bandar
(c) Dari bandar ke bandar
(d) Dari bandar ke luar bandar

7. Aliran migrasi dalaman di Malaysia pada tahun 2001 ialah:
(a) Dari luar bandar ke bandar = 11.9%
(b) Dari luar bandar ke luar bandar = 4%
(c) Dari bandar ke bandar = 67.5%
(d) Dari bandar ke luar bandar = 18.5%



Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Migrasi Penduduk



1. Migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar merupakan pola migrasi utama di Malaysia.

2. Migrasi ini juga dikenali sebagai migrasi desa bandar.

3. Kawasan bandar yang selalu menjadi tumpuan penduduk ialah bandar, bandar raya dan kawasan perindustrian.

4. Migrasi penduduk ke bandar menyebabkan pertumbuhan bilangan penduduk di kawasan bandar.

5. Faktor-faktor yang mempengaruhi migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar ialah:
(a) Peluang pekerjaan
(b) Kadar upah yang tinggi
(c) Kestabilan politik
(d) Kemudahan asas yang lengkap
(e) Melanjutkan pelajaran
(f ) Mengikut keluarga
(g) Mengelakkan bencana alam.

6. Penduduk dari luar bandar berhijrah ke kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh dan Pulau Pinang untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik dan banyak.

7. Di bandar, kadar upah pekerjaan juga adalah lebih tinggi berbanding dengan kadar upah di luar bandar kerana taraf hidup di bandar adalah lebih tinggi daripada luar bandar.

8. Kestabilan politik membolehkan Malaysia membangun dengan pesat dan menggalakkan pelabur asing melabur di Malaysia. Keadaan ini dapat memperkembangkan ekonomi negara dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk. Oleh itu, terdapat ramai penduduk dari luar bandar suka berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan.

9. Kawasan bandar mempunyai kemudahan asas yang lebih lengkap berbanding dengan kawasan luar bandar. Bekalan air dan elektrik, sekolah sistem jaringan jalan raya dan hospital di bandar berbanding kawasan luar bandar yang mundur. Oleh itu, penduduk luar bandar suka berhijrah ke bandar untuk menikmati kemudahan asas di bandar.

10. Institusi pengajian tinggi di Malaysia, kebanyakannya didirikan di kawasan bandar seperti Universiti Malaya di Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang dan Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor. Golongan pelajar terpaksa berhijrah ke bandar untuk melanjutkan pelajaran mereka.

11. Migrasi dari luar bandar ke bandar juga berlaku apabila ibu bapa ditukarkan tempat kerja. Jadi seluruh keluarganya berpindah ke tempat baru untuk memulakan kehidupan yang baru.

12. Masalah bencana alam juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan penduduk luar bandar berhijrah ke bandar. Ini adalah kerana bencana alam seperti banjir boleh berlaku beberapa kali dalam setahun dan menyusahkan hidup penduduk. Oleh itu, penduduk luar bandar lebih suka berpindah ke bandar kerana bandar mempunyai pelbagai kemudahan untuk mencegah banjir.





1. Migrasi penduduk dari luar bandar ke luar bandar berlaku antara negeri atau dalam negeri dan juga dikenali sebagai migrasi antara desa.

2. Migrasi ini biasanya berlaku hasil daripada rancangan pembangunan tanah yang dirancangkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti:
(a) Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)
(b) Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA)
(c) Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA)
(d) Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)
(e) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR)

3. Agensi-agensi ini dapat memajukan kawasan luar bandar dengan membuka tanah-tanah untuk tujuan pertanian.

4. Rancangan pembangunan tanah di kawasan luar bandar bertujuan untuk:
(a) Menggalakkan migrasi penduduk dari kawasan luar bandar yang kurang maju ke kawasan luar bandar di bawah rancangan pembangunan tanah.
(b) Membasmikan kemiskinan dan mengimbangkan pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar.

5. FELDA merupakan agensi kerajaan yang paling berjaya meningkatkan migrasi penduduk antara desa.

6. Faktor-faktor yang mempengaruhi migrasi penduduk dari luar bandar ke luar bandar ialah:
(a) Peluang pekerjaan
(b) Ancaman komunis
(c) Dasar kerajaan
(d) Melanjutkan pelajaran
(e) Mengikut keluarga

7. Penduduk dari luar bandar berhijrah ke kawasan luar bandar yang bertanih subur untuk mengusahakan tanah kerana kawasan asal mereka tiada peluang pekerjaan.

8. Semasa Zaman Darurat di Malaysia, ramai penduduk luar bandar berhijrah ke luar bandar yang selamat atau di bawah perlindungan kerajaan kerana ancaman komunis mengurangkan keselamatan mereka.

9. Pihak kerajaan telah berkerjasama dengan agensi-agensi untuk membangunkan kawasan luar bandar. Oleh itu, rancangan pembangunan tanah di adakan di kawasan-kawasan luar bandar di Malaysia.

10. Kawasan yang diadakan ini mempunyai kemudahan asas yang lengkap dan sekolah untuk kanak-kanak belajar.

11. Terdapat juga institusi pengajian tinggi yang dibina di kawasan luar bandar di Malaysia seperti Universiti Utara Malaysia di Sintok dan Universiti Utara Malaysia di Bota. Golongan pelajar yangh ingin melanjutkan pelajaran di institusi-institusi ini bermakna mereka terpaksa berhijrah ke kawasan luar bandar.

12. Bagi ibu bapa yang bertukar tempat kerja dari sesuatu kawasan luar bandar ke luar bandar yang lain, mereka akan memindahkan seluruh ahli keluarga mereka ke kawasan baru untuk memulakan kehidupan baru.


bab 8 perubahan penduduk


GEOGRAFI - TINGKATAN 2

PERUBAHAN PENDUDUK

PETA MINDA



Perubahan Penduduk

1. Perubahan penduduk merujuk kepada jumlah penduduk bertambah atau berkurang dalam setahun di sesebuah negara akibat pertambahan semula jadi dan migrasi.

2. Jumlah penduduk akan bertambah sekiranya lebih banyak bayi dilahirkan berbanding bilangan kematian di sesebuah negara.

3. Sekiranya bilangan orang yang masuk (imigrasi) ke sesebuah negara melebihi bilangan orang yang berpindah keluar (emigrasi), maka berlakulah pertambahan jumlah penduduk.

4. Malaysia turut mengalami perubahan dalam jumlah penduduknya. perubahan ini dikira dalam setiap lima tahun.

5. Jumlah penduduk Malaysia telah bertambah daripada 20,108,729 pada tahun 1995 orang kepada 23,274,690 pada tahun 2000.

6. Penduduk Malaysia dianggarkan akan terus bertambah dan mencapai jumlah 26 juta orang
menjelang tahun 2005.

7. Situasi ini menunjukkan bahawa Malaysia sedang mengalami perubahan penduduk yang
nyata.


Jumlah penduduk Malaysia
(Sumber: Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri)

8. Perubahan penduduk di negara Malaysia adalah disebabkan pelbagai faktor seperti jumlah penduduk mengikut jantina dan struktur umur.


Peratusan keseluruhan peringkat umur penduduk negara Malaysia.

9. Pada tahun 1940, penduduk Malaysia dianggarkan seramai 5 juta orang. Jumlah ini terus meningkat kepada 13 juta orang orang menjelang tahun 1960.

10. Kini jumlah penduduk Malaysia telah mencapai jumlah 23.27 juta orang berdasarkan kepada bancian penduduk yang dilakukan pada tahun 2000.

11. Perubahan jumlah penduduk yang berlaku di sesebuah negara dipengaruhi oleh kadar pertumbuhan semula jadi seperti kadar kelahiran, kadar kematian dan migrasi.


Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Perubahan Penduduk Negara Malaysia

1. Jumlah penduduk disesuatu kawasan atau negeri boleh bertambah, atau menjadi statik (tidak berubah).

2. Pertumbuhan semula jadi dan migrasi akan menyebabkan berlakunya perubahan penduduk. Rajah di bawah menunjukkan faktor-faktor yang mempengaruhi perubahan penduduk.

3. Pertumbuhan sesebuah negara akan bertambah apabila kadar kelahiran melebihi kadar kematian.

4. Penduduk sesebuah negara akan bertambah apabila kadar kelahiran melebihi kadar kematian.

5. Faktor migrasi dibahagikan kepada dua iaitu imigrasi dan emigrasi.

6. Imigrasi bermaksud perpindahan masuk penduduk dari luar negara ke negara Malaysia.
Emigrasi pula ialah perpindahan keluar penduduk negara Malaysia ke luar negara.

7. Faktor-faktor inilah yang menjadikan jumlah penduduk di sesuatu kawasan atau negeri itu
bertambah ataupun berkurang.


Faktor-faktor yang mempengaruhi perubahan penduduk

Kadar Kelahiran

1. Kadar kelahiran ialah jumlah bayi yang dilahirkan setahun berbanding dengan jumlah penduduk pada pertengahan tahun berkenaan bagi setiap 1 000 orang.

2. Kadar ini juga dikenali sebagai kadar kelahiran kasar.

3. Formula untuk mengira kadar kelahiran kasar adalah seperti yang berikut:



4. Contoh kadar kelahiran kasar di Malaysia.



5. Dalam setiap hari, setiap kelahiran bayi yang hidup bermakna bilangan penduduk dunia sudah bertambah.

6. Faktor-faktor yang mempengaruhi kadar kelahiran di Malaysia ialah:
(a) Taraf pendidikan meningkat.
(b) Amalan perancangan keluarga
(c) Taraf hidup penduduk
(d) Dasar Kependudukan Negara
(e) Sosiobudaya dan agama.

7. Taraf pendidikan meningkat
(a) Pendidikan di Malaysia telah meningkatkan kadar kenal huruf menjadi 93.8% pada tahun 2000.
(b) Taraf pendidikan yang baik menyebabkan ramai kaum wanita melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan berkahwin lewat.
(c) Keadaan ini telah mengurangkan kadar kelahiran kasar kerana tahap kesuburan mereka adalah rendah berbanding dengan wanita yang berkahwin pada usia muda.

8. Amalan perancangan keluarga.
(a) Penduduk Malaysia yang ingin menikmati taraf hidup yang tinggi dan berpendidikan tinggi selalu mengamalkan perancangan keluarga.
(b) Ini kerana mereka hanya merancang keluarga yang kecil dan tidak merancang untuk mempunyai anak yang ramai.
(c) Tetapi di kawasan luar bandar, amalan perancangan keluarga masih sukar diterima oleh penduduk, jadi kadar kelahiran di luar bandar masih tinggi.

9. Taraf hidup penduduk.
(a) Pertumbuhan ekonomi yang pesat membolehkan penduduk Malaysia menikmati taraf
hidup yang tinggi.
(b) Keadaan ini menggalakkan penduduk cenderung kepada saiz keluarga yang kecil
kerana kos membesarkan anak semakin meningkat di bandar.

10. Dasar Kependudukan Negara
(a) Melalui Dasar Kependudukan, kerajaan berhasrat mewujudkan 70 juta penduduk pada
masa akan datang untuk menambahkan bilangan penduduk dan tenaga kerja manusia.
(b) Oleh itu, kerajaan telah memberi pelbagai dorongan kepada rakyat seperti
melonggarkan cukai pendapatan kepada bilangan anak, kadar bayaran perubatan yang
rendah dan sebagainya.
(c) Kerajaan juga menggalakkan penduduk mempunyai saiz keluarga yang besar.

11. Sosiobudaya dan agama
(a) Agama memainkan peranan yang penting terhadap kadar kelahiran.
(b) Kebanyakan agama menggalakkan penganutnya mempunyai ramai anak dan amat
menentang amalan perancangan keluarga.
(c) Walau bagaimana pun, ada penganut yang mematuhi galakan itu dan ada juga yang
merancang untuk mempunyai keluarga kecil.

Kadar Kematian

1. Kadar kematian ialah jumlah bilangan kematian dalam satu tahun berbanding dengan jumlah penduduk pada pertengahan tahun berkenaan bagi setiap 1 000 orang.

2. Kadar ini juga dikenali sebagai kadar kematian kasar.

3. Kadar kematian kasar merangkumi semua golongan penduduk yang menghadapi risiko kematian.

4. Formula untuk mengira kadar kematian kasar adalah seperti yang berikut;



5. Contoh kadar kematian kasar di Malaysia.



6. Faktor-faktor yang mempengaruhi kadar kematian di Malaysia ialah:
(a) Taraf kesihatan
(b) Kekurangan makanan
(c) Wabak penyakit
(d) Dasar kerajaan
(e) Bencana alam

7. Taraf kesihatan
(a) Kemajuan dan kemudahan perubatan dapat mengawal wabak penyakit berjangkit untuk
menurunkan kadar kematian.
(b) Suntikan ubat pelalian diberi secara percuma kepada penduduk untuk meningkatkan daya imunisasi mereka terhadap penyakit.

8. Kekurangan makanan
(a) Penduduk yang miskin tidak mampu mendapatkan makanan yang berzat akan
menghadapi masalah kesihatan.
(b) Kemajuan ekonomi telah meningkatkan taraf hidup penduduk dan membolehkan
mereka menikmati makanan yang seimbang dan berkhasiat.
(c) Hasil daripada makanan yang seimbang, jangka umur penduduk akan meningkat dan
kadar kematian akan menurun.

9. Wabak penyakit
(a) Wabak penyakit yang cepat berjangkit seperti SARS dan taun akan meningkatkan jumlah
kematian penduduk jika langkah-langkah pengawalan kurang berkesan.
(b) Penyakit yang tidak dapat diubati seperti AIDS dan barah juga akan meningkatkan jumlah
kematian penduduk.

10. Dasar kerajaan
(a) Kementerian Kesihatan telah melaksanakan pelbagai kempen atau rancangan
kesedaran tentang penyakit yang berbahaya dan cara-cara mengatasinya untuk
penduduk.
(b) Jangka hayat penduduk Malaysia telah meningkat. Ini bermakna penduduk dapat
hidup lebih lama dan kadar kematian akan menurun.

11. Bencana alam
(a) Bencana alam yang berlaku seperti tanah runtuh, banjir, kebakaran, gempa bumi dan
kemarau boleh menyebabkan kadar kematian meningkat.
(b) Ini adalah kerana banyak nyawa terkorban dan tidak dapat diselamatkan.

Migrasi

1. Migrasi ialah proses penghijrahan penduduk dari satu tempat ke tempat yang lain dengan
tujuan menetap secara tetap atau sementara.

2. Faktor-faktor yang mempengaruhi migrasi ke negara Malaysia adalah kerana keadaan
politik yang stabil, peluang pekerjaan yang banyak dan kekurangan tenaga pekerja.



Faktor-faktor yang Mempengaruhi Migrasi.

1. Keadaan politik yang stabil di Malaysia telah menarik banyak pelabur asing ke negara kita.

2. Banyak peluang pekerjaan dalam sektor pertanian, perindustrian dan pembinaan telah
menggalakkan kemasukan buruh asing (imigran) ke negara ini. Dianggarkan terdapat
sebanyak 107, 325 imigran ke Malaysia pada tahun 2000.

3. Terdapat dua golongan imigran yang bekerja di Malaysia iaitu pekerja mahir (ikhtisas) dan
pekerja tidak mahir (buruh).

4. Golongan ikhtisas kebanyakannya bekerja dalam bidang perubatan, pendidikan,
pengurusan dan pembinaan. Manakala golongan buruh bekerja sebagai buruh pula kontrak
dalam sektor pembinaan, pertanian, dan pembantu rumah.

5. Terdapat juga penduduk Malaysia yang berhijrah ke luar negara untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik.

6. Emigran (penghijrah) ini kebanyakannya terdiri daripada golongan profesional seperti doktor pakar, jurutera, akauntan, peniaga dan pesara. Golongan ini lebih suka berhijrah ke Australia, Kanada, Britian, Amerika Syarikat dan New Zealand.

7. Golongan penghijrah yang separuh mahir dan mahir pula lebih suka bekerja di Singapura, negara Asia Barat seperti Arab Saudi, di Jepun dan juga di Taiwan.

Perubahan Penduduk Negara Malaysia Pada Masa Depan

1. Ciri-ciri penduduk pada masa kini di Malaysia.
(a) Kadar kelahiran menurun dari tahun 1990 hingga 2000.
(b) Kadar kematian menurun dari tahun 1990 hingga 2000.

2. Ciri-ciri penduduk pada masa depan di Malaysia.
(a) Kemasukan buruh asing yang ramai.
(b) Kekurangan tenaga buruh dalam bidang profesional.
(c) Warga tua semakin bertambah.
(d) Kos kesihatan dan rawatan semakin bertambah.

3. Kerajaan telah mengadakan pelbagai langkah-langkah untuk mengatasi masalah-masalah kekurangan penduduk pada masa depan.
(a) Menggalakkan keluarga besar dengan memberi bantuan.
(b) Meningkatkan usia persaraan.
(c) Menyediakan peluang pekerjaan yang banyak.
(d) Menggunakan robot dan jentera di kilang besar.